Oleh Zihan Zari
CYBERJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menjalankan Pemeriksaan Pematuhan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 berfokus di pusat membeli belah dekat sini, baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj. Mohamad, bersama Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi turut menyertai sesi pemeriksaan ini.
JTKSM dalam kenyataan berkata, pemeriksaan ini merupakan permulaan pemeriksaan bersepadu di seluruh Semenanjung Malaysia yang akan dijalankan dari 13 hingga 17 Oktober ini.
Ini bagi memastikan pelaksanaan PGM 2024 yang berkuat kuasa pada 1 Februari dan 1 Ogos 2025 benar-benar dinikmati oleh semua pekerja swasta.
“Pemeriksaan Pematuhan PGM 2024 dilaksanakan selaras dengan objektif dasar gaji minimum kerajaan untuk menjamin perlindungan pendapatan asas pekerja dan memperkukuh amalan pekerjaan yang adil.
“Pemeriksaan dilaksanakan secara door-to-door bagi mendekati majikan secara langsung, memberi penerangan mengenai kewajipan mematuhi kadar gaji minimum serta menegaskan komitmen kerajaan memastikan semua pekerja menerima gaji yang adil dan sewajarnya,”kata kenyataan itu.
Katanya, sebanyak 68 majikan telah diperiksa dan kebanyakannya adalah sektor perkhidmatan bagi borong runcit, makanan dan minuman serta pusat kecantikan.
Daripada jumlah tersebut, 64 majikan (94%) adalah patuh manakala 4 majikan (6%) tidak patuh terhadap PGM 2024.
“Didapati seramai 14 orang pekerja terlibat di bawah majikan yang tidak patuh. Gaji yang dibayar adalah kurang daripada 1,500 dan antara RM1, 500 hingga RM1,700 sebulan.
“Ianya, lebih rendah daripada kadar minimum RM1,700 sebulan sepertimana yang telah ditetapkan, ”katanya lagi.
Ujarnya, mana -mana majikan yang didapati bersalah di bawah Seksyen 45 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] kerana gagal membayar gaji minimum boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja jika disabitkan kesalahan.
“KESUMA menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan dasar gaji minimum dilaksanakan secara menyeluruh dan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua pekerja swasta di negara ini, ”ujarnya lagi. -SUARA.TV



