KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan kerana memberi peruntukan kepada kerajaan negeri Pahang menerusi Belanjawan 2024 yang dibentang semalam.
Jelasnya, belanjawan yang dibentangkan ini membawa manfaat yang besar kepada setiap lapisan masyarakat serta memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif.
“Tahniah dan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2024, pada petang semalam.
“Belanjawan yang telah diumumkan ini merupakan satu naskhah belanjawan yang telah digarap secara komprehensif, holistik serta mencakupi pelbagai sektor seperti ekonomi, pembangunan infrasturktur, pendidikan, kesihatan, keselamatan, keterjaminan makanan serta inisiatif-inisiatif untuk meringankan beban rakyat,” kata Wan Rosdy menerusi kenyataan Facebooknya, pada Sabtu.
Menurut beliau pembentangan belanjawan bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat telah memberi peruntukan kepada Pahang iaitu:
i. Memperuntukkan RM47 juta bagi menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1,300 meter.
ii. Taman Rimba Kenong, Lipis disenaraikan antara yang terlibat dalam menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan dengan peruntukan RM20 juta.
iii. Lembangan Sungai Pahang disenaraikan antara yang terlibat dalam 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi dengan kos melibatkan RM11.8 bilion.
iv. Pembinaan dua buah sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Melati, Kuantan.
v. Pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tahan, Jerantut.
vi. Meneruskan Program Transformasi Bas Henti-henti di Kuantan.
“Saya berharap, seluruh rakyat Malaysia dapat menyokong penuh belanjawan yang telah dibentangkan ini demi kestabilan dan kemakmuran bersama,” ujarnya.
Terdahulu, Belanjawan 2024 atau Belanjawan Madani Kedua memperuntukkan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.-SUARATV