Asyraf Wajdi sifatkan persahabatan dengan PAS ibarat madu dibalas tuba

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan persefahaman dengan PAS ibarat madu dibalas tuba.

Parti Umno telah berusaha semaksimum mungkin dan melaksanakan pelbagai ikhtiar untuk bekerjasama dengan PAS namun pada akhirnya kecundang jua.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebooknya berkongsi gambar pertemuan 8 mata antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti Umno dan PAS pada hari Rabu 12 Oktober 2022, sehari sebelum PAS akhirnya membuat keputusan kekal bersama Bersatu-Perikatan Nasional (PN).

“Pertemuan ini adalah ikhtiar terakhir Umno untuk berlapang dada menerima PAS bagi menyelamatkan Mufakat Nasional (MN) yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan sama-sama menjadi pembangkang, atas deraian air mata kesyukuran, bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

“Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi PAS yang membawa mesej bahawa Majlis Syura PAS dan Muktamar PAS telah membuat resolusi mahukan hubungan PAS dan Umno dipulihkan kembali.

“Dewan Ulamak PAS juga dikhabarkan membuat resolusi serupa,” kata Asyraf.

Justeru, Asyraf berkata Umno sudah cukup berjiwa besar untuk menerima kembali PAS, walaupun dikhianati apabila PAS bersetuju mendaftarkan PN bersama Bersatu sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN.

“Sebagaimana PRN Melaka dahulu, Umno menawarkan 5 kerusi DUN boleh menang kepada PAS untuk ditandingi walaupun Bersatu menjanjikan 11 kerusi kepada PAS.

“Begitu juga pada pertemuan kali ini, PAS menegaskan bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada PAS.

“Namun bagi Umno, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal diperkongsikan bagi menghadapi PRU15,” tegas beliau.

Tambah Asyraf lagi sebagai sebuah parti perjuangan, Umno tidak akan pernah patah semangat walaupun madu dibalas tuba.

“Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan, kerana Umno yakin, rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan, kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata, hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan.

“Apa-apapun Allah menjadi saksi bahawa usaha semaksimumnya telah dilakukan untuk menyelamatkan agenda penyatuan ummah terutamanya permuafakatan Umno-PAS, demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu ini dapat dipertautkan kembali.

“Mungkin ada hikmah yang Allah rahsiakan kepada kita semua di sebalik episod ini,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat