BUTTERWORTH, – Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Butterworth bakal menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menerusi projek Fibre-to-the-Home (FTTH) yang sedang giat dilaksanakan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini meninjau perkembangan projek berkenaan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pangkalan tersebut, yang merupakan salah satu kem keutamaan di bawah Kluster 1 (Utara).
Projek itu dilaksanakan hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan ATM melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 11 Oktober 2024. Ia melibatkan 73 kem tentera di seluruh negara dengan lebih 59,000 unit RKAT.
Menurut Fahmi, pelaksanaan projek FTTH dilaksanakan di bawah DUSP Part 1 oleh Stealth Solutions dan DUSP Part 2 oleh TM Technologies Services. Melalui inisiatif ini, warga ATM berpeluang melanggan pakej Perajurit Broadband pada harga RM49 sebulan untuk kelajuan 100Mbps, dengan tawaran pengenalan RM39 sebulan bagi enam bulan pertama.
“Dengan kemudahan ini, warga ATM dan keluarga bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup, malah ia turut menyokong pendidikan anak-anak serta memperkukuh kesejahteraan keluarga tentera. Ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus digital,” katanya.
MCMC akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan piawaian dipatuhi serta memberi manfaat maksimum kepada warga tentera.
Turut hadir pada tinjauan tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.



