KUALA LUMPUR -Perintah Pengampunan yang dititahkan oleh Yang di- Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.
Oleh yang demikian Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat (Ahli Parlimen) dan Perdana Menteri.
“Sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang ahli parlimen seharusya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” tegas AGC dalam kenyataan pada Khamis.
AGC berkata demikian merujuk laporan media berkenaan satu tindakan mahkamah telah difailkan oleh Waytha Moorthy terhadap Anwar bagi mencabar kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Tambun dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Asas kepada tindakan tersebut adalah pengampunan yang telah diberikan oleh Yang Di-Pertuan Agong ke-15 tidak mengandungi sebarang pembatalan terhadap kehilangan kelayakan
Dato’ Seri Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
“AGC menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan tindakan di mahkamah.
“Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan bahawa Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan terhadap sabitan dan hukuman,” tegas jabatan itu.



