Tiket konsert Hujan laris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Diserbu peminat tempatan termasuk dari Singapura, Brunei dan Indonesia, laman web yang menawarkan tiket konsert kumpulan Hujan, November depan, ‘sesak’ hingga tergendala selepas jualan dibuka pada jam 11 pagi tadi.

Peminat yang menggelarkan diri sebagai ‘Raingers’ membanjiri laman web itu agar tidak terlepas peluang menyaksikan band kegemaran mereka beraksi pada Konsert Rumah Kita yang akan dianjurkan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 November depan.

Terbukti, di sebalik kontroversi perceraian vokalis Hujan, Noh Salleh dengan Mizz Nina, karier seni penyanyi itu terus disokong peminat, apatah lagi band terbabit sudah lama tidak mementaskan konsert secara fizikal.

Masalah kesesakan di laman web itu bagaimanapun diselesaikan penganjur konsert, RJS Sdn Bhd.

Noh atau nama sebenar, Mohammad Noh Salleh, 37, bersyukur sambutan luar biasa peminat terhadap konsert Hujan.

“Saya difahamkan ada Raingers yang akan datang dari pelusuk negara termasuk dari Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Kami sangat teruja dengan sambutan ini… Terima kasih. Namun, kami memohon maaf atas kesulitan yang dilalui pembeli tiket, pagi tadi.

 

Anggota kumpulan Hujan dari kiri AG, Izzat Uzaini, Azham Ahmad dan Noh bakal menghiburkan peminat dalam Konsert Rumah Kita, November depan. Foto Ihsan Hujan
Anggota kumpulan Hujan dari kiri AG, Izzat Uzaini, Azham Ahmad dan Noh bakal menghiburkan peminat dalam Konsert Rumah Kita, November depan. Foto Ihsan Hujan

 

“Perkara ini di luar kawalan kami. Pada masa sama, kami bersedia memikul tanggungjawab bagi memastikan Konsert Rumah Kita akan menjadi suatu persembahan yang diingati buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, pengurus kumpulan Hujan, Ariffin Ahmad atau Ipin berkata, pihaknya dimaklumkan berlaku kesulitan sebaik proses penjualan tiket bermula.

“Penganjur sudah memaklumkan syarikat menjual tiket, iLasso untuk menggunakan pelayan lebih besar bagi menampung kemasukan pembeli.

“Sambutan sangat luar biasa hingga talian sesak. Kami sangat terkejut dengan perkara di luar jangkaan ini,” katanya.

Ipin berkata, pada mulanya, konsert dirancang berlangsung dalam tempoh dua jam.

“Namun, selalunya, durasi berlarutan. Seperti konsert Hujan sebelum ini, pasti ada kandungan dan idea baharu dipersembahkan… Sama juga dengan gimik,” katanya.

Selain komposisi baharu lagu yang bakal didendangkan, kata Ipin, Konsert Rumah Kita juga akan menampilkan beberapa artis jemputan.

Pada November tahun lalu, Hujan yang turut dianggotai AG, Azham Ahmad dan Izzat Uzain tampil dengan konsert hibrid.

Layari www.ilassotickets.com untuk membeli tiket yang ditawarkan pada harga serendah RM150 untuk kategori Kembara hingga RM469 bagi kategori Obsesi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat