Hamid Bador Sangkal PDRM Keluar Kenyataan Bercanggah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyangkal dakwaan keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bahawa pasukan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

Menurutnya, tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dilakukan beliau pada Jumaat lalu.

“Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan dan dapatan terkini. Ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues.

“Sehingga kini, tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan nampak arwah Adib dipukul. Kesemua keterangan yang diperolehi adalah bersifat ‘hearsay’ dan juga berupa pendapat.

“Usaha masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti pelaku jenayah ini jika ada,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai kes kematian Allahyarham Muhammad Adib, Abdul Hamid berkata, beberapa isu perlu disiasat lebih lanjut ekoran daripada keputusan inkues yang mengatakan arwah Adib dipukul dan diserang dua orang atau lebih.

Menurutnya, sekiranya benar berlaku serangan pastinya wujud kesan serangan dan PDRM masih memperhalusi perkara itu bagi mendapatkan suspek atau sebarang petunjuk yang memungkinkan tangkapan.

Tambah beliau, PDRM juga menjalankan siasatan lanjut terhadap saksi yang didapati tidak konsisten dalam tiga peringkat rakaman percakapan sebelum ini dan saksi lain yang memberikan keterangan dalam inkues kerana ada antaranya mendedahkan beberapa maklumat baharu yang perlu disiasat lanjut.

“Isu ‘dying declaration’ perlu disiasat lanjut oleh pasukan siasatan kerana ia dikemukakan semasa inkues tanpa dicabar atau dinilai kredibiliti dan kesahihannya,” katanya.

Abdul Hamid berkata, keputusan inkues hanya panduan kepada PDRM selepas mahkamah meneliti keterangan saksi dan pihaknya boleh terus menjalankan siasatan melalui pelbagai sudut untuk menyelesaikan kes itu.

Katanya, terdapat kebarangkalian hasil siasatan lanjut akan tidak selaras keputusan mahkamah terutama dari sudut tiada keterangan jelas Adib dipukul, keterangan kecederaan tidak sepadan dengan corak serangan dan keterangan pakar yang bercanggah.

“Sebagai menghormati keputusan Mahkamah Koroner, sehingga kini siasatan kes arwah Adib tidak pernah ditutup dan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat bukti dan keterangan baharu,” katanya.

-Harian Metro-

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat