JKM Selangor mohon perintah jagaan sementara adik Zayn Rayyan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memohon kepada Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini untuk mendapatkan perintah jagaan sementara adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, berkata pihaknya juga akan meminta satu tempoh masa daripada mahkamah untuk menjalankan kerja mengenal pasti waris atau orang yang layak dan sesuai untuk penjagaan kanak-kanak itu.

“Dijangka hari ini, kita akan dapatkan dahulu perintah sementara untuk bawa anak itu kepada pemeriksaan (kesihatan) dan sebagainya.

“Kita akan minta satu tempoh masa kepada mahkamah, mungkin dalam sebulan atau dua bulan untuk tempoh siasatan bagi mengenal pasti waris atau orang yang layak dan sesuai untuk penjagaan anak itu nanti,” lapor Bernama, pada Jumaat.

Azmir berkata, pengambilan bagi tujuan penjagaan kanak-kanak lelaki itu sudah dimaklumkan kepada ibu dan bapanya, Ismanira Abdul Manaf serta Zaim Ikhwan Zahari.

Berkongsi mengenai keadaan adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan, beliau berkata, kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan baik.

“Sebagai kanak-kanak dia pun keliru, tidak berapa faham situasi (sekarang), tetapi setakat ini – okay, tiada masalah sebab kita tempatkan dia di hospital untuk pemeriksaan kesihatan dahulu,” katanya.

Semalam Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, di sini pada jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang di kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember lalu sebelum dia ditemukan mati dibunuh pada keesokan harinya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat