MCMC Diarah Laksana Pemetaan, Ukur Tahap Kelajuan Internet – Annuar Musa

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melaksanakan pemetaan di seluruh negara, bagi mengukur tahap sebenar kelajuan internet dan membandingkannya dengan laporan oleh syarikat telekomunikasi.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata masih ramai rakyat terutama di kawasan luar bandar, yang mengeluh dengan mutu perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi pada masa ini.

“Saya nak MCMC buat pemetaan, buat audit prestasi tahap pencapaian dan bandingkan dengan apa yang telco dah buat,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 K-KOMM di sini hari ini.

Annuar berkata MCMC perlu menggunakan undang-undang yang ada dalam akta, berkaitan terhadap pihak telco yang didapati tidak mencapai tahap sepatutnya dan mengeluarkan arahan bagi mewajibkan mereka memperbaiki mutu perkhidmatan.

Beliau berkata agensi-agensi di bawah K-KOMM terutamanya MCMC juga, perlu mengambil pendekatan baharu dan lebih agresif dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Dalam negara kita, (soal) perkhidmatan kita beri pada syarikat, kerajaan keluarkan lesen. Kalau syarikat itu kata tidak boleh buat, saya tengok tiap-tiap tahun umum keuntungan, jadi untung datang dari mana? Mestilah untung datang dari pengguna-pengguna perkhidmatan mereka.

“Saya bukan anti keuntungan, tak apalah untung tapi tolonglah labur balik dan baiki masalah rakyat di kampung yang panjat pokok, panjat gunung (nak dapatkan capaian internet). Sampai bila masalah ini kita nak dengar?,” katanya.

Bercakap kepada media usai majlis, Annuar berkata pihaknya mendapat banyak maklum balas daripada rakyat tentang mutu capaian internet dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang tidak seragam, dengan ada kawasan kelajuan internetnya rendah, manakala sesetengah kawasan pula hanya ada perkhidmatan dari syarikat telekomunikasi tertentu.

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat-syarikat telekomunikasi untuk melabur semula dari keuntungan yang diterima, dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan masalah ketersambungan yang dihadapi rakyat.

“Kita juga tahu di peringkat penyedia perkhidmatan, mereka bertindak sebahagian besar berasaskan kepada keperluan komersil sebab mereka itu badan perniagaan, jadi antara elemen kepentingan orang ramai dan pertimbangan berasaskan perniagaan itu, ada kelompongannya yang menjadi tanggungjawab kerajaan dan MCMC untuk memastikan jurang itu tidak terlalu meluas.

“Sekarang pun mereka memang dah melabur, tapi saya minta ditingkatkan supaya mereka dapat bersama-sama membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Annuar berkata selain pembinaan menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), syarikat telekomunikasi digalakkan untuk melabur dalam menaik taraf menara pencawang yang sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata rundingan perjanjian perkhidmatan antara syarikat telekomunikasi dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara masih berjalan.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi semua syarikat telco tidak mahu ketinggalan dalam menyediakan 5G, sebab itulah kita mengambil dasar menjemput semua sekali untuk menyertainya, tapi kita tak boleh paksa mana-mana syarikat untuk menyertai.

“Mana-mana syarikat yang menyertai untuk pelaksanaan, kita akan jalan terus. Kalau jumlah syarikat tidak cukup, saya akan keluarkan lesen kepada pemain-pemain baharu. Saya tidak akan menunggu sesiapa. Saya dah kata tolong fikirkan soal kepentingan nasional.

“Kita mahu pelaksanaan 5G berjalan mengikut perancangan dan kerajaan dah beri ruang kepada pemain sedia ada untuk menyertainya. Jadi kita dah bagi tarikh akhir (30 Jun depan) yang kita rasa lebih dari cukup. Biarlah mereka selesaikan perundingan,” katanya.

Pada majlis tersebut, Annuar meminta warga kementerian memberi tumpuan dan perhatian seimbang terhadap lima bidang keutamaan K-KOMM iaitu telekomunikasi; ekonomi digital; industri kreatif termasuk industri perfileman, industri muzik dan persembahan; jaringan komunikasi kerajaan dan penyiaran; serta keselamatan siber.

“Lima ini amat penting pada dunia hari ini. Kalau kementerian kita tidak efektif, tidak efisien, rakyat akan nampak kita tidak berprestasi. Kita tahu kelima-lima ini perlu ada lonjakan, tidak boleh dalam keadaan seperti biasa,” katanya.

Annuar menyampaikan APC kepada 362 orang yang menerima sijil penghargaan dan insentif bernilai RM1,000 termasuk 51 penerima daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat