Harimau Malaya mencongak matematik untuk ke Pusingan Akhir AFC 2023

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Peluang pasukan bola sepak negara (Harimau Malaya) untuk layak ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia 2023 (AFC 2023) di China mungkin nampak suram dengan kekalahan 1-2 di tangan Bahrain Sabtu lalu.

Namun realitinya peluang masih ada dan tidak sesukar dijangkakan asalkan pemain Harimau Malaya tidak membuat kesilapan mudah dan mensabotaj pasukan sendiri.

Syarat utama untuk melayakkan diri ke pusingan akhir AFC2023 ialah menewaskan Bangladesh malam ini dengan jaringan yang besar bagi mengenepikan beberapa pasukan tangga kedua kumpulan lain.

Bagaimanapun Malaysia boleh layak dengan hanya memungut tiga mata ke atas Bangladesh sekiranya Filipina tumpas atau seri semasa menentang Palestin dalam perlawanan kumpulan A hari ini.

Format kelayakan AFC2023
Dalam format pusingan ketiga kelayakan AFC 2023, 24 pasukan dipecahkan kepada 6 kumpulan. 11 pasukan dari pusingan kelayakan ini akan layak ke pusingan akhir. 6 johan kumpulan akan diiringi dengan 5 pasukan naib johan terbaik.

Oleh kerana terdapat 6 kumpulan, maka salah satu naib johan kumpulan akan tersingkir dari layak ke pusingan akhir.

Penentuan 5 pasukan terbaik ini ditentukan oleh jumlah pungutan mata setiap pasukan Naib Johan.

Sekiranya jumlah mata sama, perbezaan jaringan akan dijadikan ukuran menentukan susunan pasukan lima naib johan kumpulan terbaik ini.

Dalam situasi mata dan kelebihan gol sama, mata disiplin (yang ditentukan oleh kutipan kad kuning dan merah) akan digunakan sebagai perbezaan kedudukan. Jalan terakhir sekiranya masih sama, ialah melalui undian.

Berdasarkan kedudukan selepas pusingan kedua dan masing-masing tinggal 1 perlawanan, Malaysia berpeluang cerah layak ke perlawanan akhir sekiranya mengalahkan Bangladesh dengan jaringan yang melebihi 3 gol.

Cabaran utama pasukan Malaysia adalah dari Kumpulan A (Indonesia) Kumpulan B (Filipina) dan Kumpulan D (India dan Hong Kong).

Filipina (Kumpulan B)
Peluang terbesar Malaysia ialah memintas kedudukan Filipina. Walaupun negara tersebut kini mengumpul empat mata dari dua perlawanan, namun mereka akan menentang gergasi Asia barat, Palestin.

Palestin sedang mendahului kumpulan B dengan enam mata dan mempunyai kelebihan jaringan enam gol sepatutnya tiada masalah untuk mengatasi Filipina. Namun dalam bola sepak kejutan sentiasa berlaku.

Walaupun Palestin berada di tangga teratas kumpulan namun mereka belum layak secara automatik. Palestin perlu sekurang-kurangnya keputusan seri dengan Filipina untuk menjadi juara kumpulan dan layak secara automatik.

Sekiranya Palestin berjaya memungut sekurang-kurangnya satu mata, Malaysia hanya perlu menang dengan Bangladesh untuk mengesahkan tempat ke pusingan akhir.

Sekiranya Palestin kalah dengan margin 1-0, Malaysia memerlukan kemenangan 5-0 ke atas Bangladesh untuk memintas Palestin yang akan menghuni tangga kedua kumpulan B.

Oleh kerana perlawanan ini akan berlangsung pada jam 12.30 tengahari nanti, Malaysia sudah boleh mengetahui di mana percaturan kita sebelum turun ke padang pada jam 9 malam ini – sama ada memerlukan jaringan besar atau sekadar tiga mata.

Indonesia, Kuwait dan Jordan (Kumpulan A)

Peluang kedua terbaik bagi pasukan Harimau Malaya ialah Indonesia yang berada di tangga kedua kumpulan A. Negara jiran itu kini berada dalam senarai terbawah dalam kalangan enam pasukan yang menduduki tempat kedua kumpulan.

Mengumpul tiga mata sama dengan Indonesia, Malaysia mempunyai kelebihan satu gol berbanding Indonesia.

Justeru Malaysia perlu menang dengan jaringan besar menentang Bangladesh dan mengharapkan Indonesia sekadar  seri atau menang satu jaringan ketika menentang Nepal.

Bagaimanapun situasi ini agak berbahaya kerana perlawanan terakhir Indonesia menentang Nepal akan bermain lebih lewat berbanding pasukan Harimau Malaya.

Indonesia yang bermain selepas Malaysia akan mempunyai kelebihan untuk mengetahui jumlah gol yang diperlukan bagi mengatasi pasukan Harimau di tempat ke lima terbaik. Justeru Malaysia perlu mengasak habis-habisan bukan sahaja untuk mencapai kemenangan tetapi mencapai kemenangan yang cukup besar untuk mempunyai kelebihan gol.

Dalam masa yang sama Malaysia dan Indonesia juga boleh layak bersama sekiranya kedua-dua pasukan mencatat kemenangan, dan Filipina tewas atau seri dalam perlawanan terakhir mereka.

Satu lagi kemungkinan situasi dalam kumpulan A ini ialah tiga pasukan mengumpul enam mata dan terikat pada kedudukan sama.  Jordan yang mengumpul enam mata (kelebihan 3 gol) akan menentang Kuwait yang mempunyai  tiga mata (kelebihan 1 gol).

Seandainya Kuwait menang ke atas Jordan dan Indonesia menang ke atas Nepal, ketiga-tiga pasukan akan terikat 6 mata. Indonesia mungkin mempunyai peluang untuk menjadi juara kumpulan bergantung kepada jumlah jaringan menentang Nepal dan berdasarkan rekod head to head dengan Kuwait sebanyak 3-0, berbanding kekalahan 1-0 kepada Jordan.

Untuk mempunyai peluang mengatasi mana-mana pasukan tempat kedua kumpulan ini Malaysia perlu menang dengan sekurang-kurangnya 3-0 ke atas Bangladesh.

India dan Hong Kong (Kumpulan D)

Satu lagi situasi yang boleh membantu pasukan Malaysia ialah perlawanan antara India dan Hong Kong dalam kumpulan D. Kedua-dua pasukan memungut enam mata dengan Hong Kong mempunyai kelebihan 4 gol dan India 3 gol akan bertemu sesama mereka dalam perlawanan terakhir.

Mereka dijangka akan bermain untuk seri sekaligus menjamin kedua-dua pasukan ke pusingan akhir AFC 2023 dengan tujuh mata.

Bagaimanapun sekiranya salah satu pasukan tewas, dengan andaian kekalahan 1-0, kelebihan gol tertinggi kumpulan ini ialah tiga gol (dengan andaian Hong Kong kalah 0-1 kepada India).

Justeru Malaysia yang telah mempunyai kelebihan satu gol ketika ini, perlu menewaskan Bangladesh dengan perbezaan jaringan tiga gol untuk mempunyai peluang memintas pasukan tempat kedua kumpulan ini.

Bagaimanapun sekali lagi kumpulan ini tidak memberi kelebihan kepada Malaysia kerana mereka akan bermain selepas perlawanan pasukan negara.

Selamat berjuang Harimau Malaya!

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat