Bintang K-pop yang sedang mencanak naik, KISS OF LIFE, akhirnya menemui peminat Malaysia dalam konsert pertama mereka menerusi siri jelajah dunia “KISS OF LIFE 1st World Tour: Kiss Road”. Bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur, konsert yang bermula seawal jam 5 petang itu menyaksikan kehadiran lebih 3,000 peminat, yang hadir dari seluruh pelusuk negara demi melihat sendiri idola mereka beraksi di atas pentas.
Sejak debut pada tahun 2023, kumpulan yang dianggotai oleh BELLE, NATTY, JULIE dan HANEUL ini terus mendapat perhatian dalam dunia K-pop. Tidak seperti kebanyakan kumpulan yang bergantung kepada visual semata-mata, KISS OF LIFE membawa pendekatan berbeza – menampilkan muzik yang segar, jujur dan berinspirasikan kehidupan remaja.
Lagu mereka yang paling ikonik, “Sticky”, bukan sahaja menjadi tular tetapi juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa, termasuk kedudukan Top 10 Billboard World Digital Song Sales Chart dan kedudukan ke-87 dalam Billboard 200 – satu pencapaian luar biasa bagi kumpulan baharu. Gaya muzik mereka yang eksperimental dan berani telah menjadikan KISS OF LIFE sebagai antara kumpulan rookie paling berpengaruh dalam industri K-pop hari ini.
Konsert dibuka dengan paparan Opening Intro dan lagu “Get Loud”, yang disusuli oleh lagu-lagu seperti , “Igloo”, dan “Bad News”. Kumpulan ini terus memukau penonton dengan koreografi mantap dan vokal langsung yang stabil – satu bukti profesionalisme dan latihan keras mereka.
Segmen solo yang dinanti turut mencuri perhatian. Setiap ahli tampil dengan persembahan individu – BELLE dengan “Countdown”, JULIE melalui “Kitty Cat”, HANEUL menerusi “Play Love Games”, dan NATTY yang memukau dengan “Sugarcoat”, lagu solo yang telah mencuri hati ramai sejak dilancarkan.
Rangkaian lagu seterusnya seperti “Nobody Knows,” “Te Quiero,” “Gentleman,” “My 808,” “TTG,” dan pastinya “Sticky” membawa penonton dalam perjalanan emosional yang menyeluruh – dari penuh semangat hingga menyentuh perasaan.
Visual pentas, pencahayaan dinamik, serta paparan video (VCR) yang dipasang antara lagu, berjaya mengekalkan momentum persembahan dan membuatkan penonton terus terpaku sepanjang malam.
Di tengah-tengah lautan peminat, seorang peminat setia bernama Faiz berkongsi kegembiraan luar biasanya.
“Saya masih tak percaya mereka betul-betul datang ke Malaysia. Saya dah tunggu sejak mereka debut lagi. Akhirnya saya dapat lihat mereka depan mata – impian saya benar-benar tercapai malam ini,” katanya sambil memegang lightstick dan sepanduk yang dibuat khas.
Bagi Faiz dan ramai lagi peminat di arena malam itu, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol kasih sayang dan kesetiaan kepada kumpulan yang memberi inspirasi melalui muzik dan keperibadian mereka.
Setelah hampir dua jam penuh aksi, konsert diakhiri dengan segmen encore yang menyentuh jiwa – “Bye My Neverland,” “Says It,” dan “Back To Me.” Dalam ment akhir (Ment ⑥), ahli kumpulan menzahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa peminat Malaysia, sambil berjanji akan kembali lagi pada masa akan datang.
“Kami tak akan lupakan malam ini. Terima kasih Malaysia kerana menerima kami dengan begitu hangat,” kata NATTY sambil senyum penuh makna, mencuri hati ribuan peminat yang bersorak dalam kegembiraan.
Malam itu, Mega Star Arena bukan sekadar venue konsert – ia menjadi saksi kepada pertemuan bersejarah antara KISS OF LIFE dan peminat Malaysia. Persembahan mantap, vokal hebat, interaksi mesra dan keikhlasan setiap ahli membuktikan bahawa kumpulan ini bukan sekadar “rookie”, tetapi bintang masa depan K-pop.
Untuk peminat seperti Faiz, dan ribuan lagi, malam itu adalah lebih daripada sekadar konsert – ia adalah impian yang menjadi kenyataan.