Oleh Zihan Zari
TOKYO, JEPUN – Sebanyak 31 buah syarikat dan 3 buah koperasi Malaysia telah dibawa untuk menyertai misi perdagangan antarabangsa ke International Food and Baverage Exhibition (Foodex Japan 2026) yang telah berlangsung di Tokyo Big Sight, dekat sini dari 10 – 13 Mac 2026.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan berkata FOODEX Japan 2026 merupakan pameran perdagangan makanan dan minuman terbesar di Asia, menghimpunkan lebih 3,000 pempamer dari 80 negara pada edisi tahun ini.
“Menerusi penyertaan kali ini, delegasi KUSKOP menyasarkan potensi nilai jualan sehingga RM80 juta.
“Delegasi KUSKOP diketuai oleh Ketua Setiausahanya, Dato’ Sri Khairul Dzaimee bersama agensi di bawah kementerian termasuk SME Corp. Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Misi perdagangan ini turut disokong oleh agensi strategik lain iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), ”kata kenyataan itu.
“Delegasi Malaysia turut dijadualkan untuk mengadakan sesi pertemuan bersama Setiausaha Agung ASEAN-Japan Centre (AJC), Dr. Hirabayashi Kunihiko yang bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama strategik dua hala di antara Malaysia dan Jepun pada masa hadapan.
“Beberapa sesi libat urus bersama pemain industri global turut dilaksanakan bagi memperluas jaringan perniagaan usahawan Malaysia, ”katanya.
Katanya lagi, pelaksanaan misi perdagangan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik negara dalam menyokong agenda Malaysia MADANI khususnya dalam memperluas jaringan ekonomi, perdagangan dua hala serta meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) tempatan di peringkat antarabangsa.
Dalam kenyataan yang sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,
Steven Sim Chee Keong berkata, Jepun merupakan antara pasaran premium dunia yang menuntut standard yang berkualiti tinggi.
Steven berkata, kejayaan menembusi pasaran ini akan meningkatkan kredibiliti serta daya saing produk Malaysia di peringkat global.
Tambah beliau, penyertaan ini juga selari dengan strategi ABCD KUSKOP, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran yang menjadi kerangka utama kementerian dalam memperkasa usahawan tempatan. -SUARA.TV



