Zamri dan Tamim lari ke Thailand – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR, – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua individu, Zamri Vinoth dan Tamim Dahri, dipercayai telah melarikan diri ke Thailand bagi mengelak tindakan undang-undang berhubung beberapa kes berkaitan kenyataan berbaur hasutan serta sensitiviti agama.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, hasil risikan pihak polis mendapati kedua-dua suspek kini berada di negara jiran itu dan usaha mengesan serta membawa pulang mereka sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Menurut beliau, siasatan terhadap Zamri Vinoth berkaitan kenyataan berhubung penganjuran perhimpunan di perkarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu telah selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada orang ramai. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Dalam perkembangan berkaitan, siasatan terhadap Tamim Dahri pula melibatkan tindakan merosakkan ‘soolam’ yang merupakan simbol suci dalam agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah. Kes ini dirujuk di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Selain itu, siasatan berasingan terhadap Zamri Vinoth berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap kaum India turut dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Ketua Polis Negara menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam, sambil menegaskan tindakan pendakwaan akan dilaksanakan sebaik sahaja kedua-dua suspek berjaya dikesan dan dibawa pulang ke Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat