Konflik Iran–Israel Bukan Perang Mazhab, Tetapi Perebutan Kuasa – Mat Sabu

Cyberjaya – Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu menegaskan konflik antara Iran dan Israel tidak seharusnya dilihat sebagai peperangan mazhab antara Syiah dan Sunni, sebaliknya berpunca daripada kepentingan kuasa dan geopolitik.

Menurut beliau, terdapat pihak yang cuba menggambarkan ketegangan tersebut sebagai kebangkitan Syiah, namun tafsiran sedemikian disifatkan terlalu simplistik dan tidak mencerminkan realiti sebenar.

Mohamad berkata, jika konflik itu benar-benar berkait dengan mazhab, negara-negara Arab bermajoriti Sunni sepatutnya menunjukkan sokongan lebih jelas kepada Iran dalam konfrontasi dengan Israel, terutama selepas sejarah panjang konflik Palestin sejak peristiwa Nakba 1948 yang menyebabkan ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan tanah air mereka.

Beliau turut mempersoalkan sikap beberapa negara Arab yang menurutnya tidak menunjukkan solidariti yang kuat terhadap penderitaan rakyat Palestin, walaupun konflik tersebut telah meragut puluhan ribu nyawa serta memusnahkan kediaman dan kehidupan orang awam.

Dalam kenyataan sama, Mohamad turut merujuk kepada beberapa peristiwa sejarah yang menurutnya menunjukkan isu kuasa sering mengatasi perbezaan mazhab.

Antaranya termasuk hukuman mati terhadap pemikir Islam terkenal, Sayyid Qutb, serta pembunuhan pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Banna.

Beliau juga menyentuh mengenai penggulingan kerajaan yang dipimpin oleh bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, walaupun kerajaan tersebut dipilih melalui proses pilihan raya demokratik.

Menurut Mohamad, perkembangan tersebut menunjukkan bahawa pertimbangan politik dan kelangsungan kuasa sering menjadi faktor utama dalam keputusan yang diambil oleh pemerintah di rantau berkenaan.

“Konflik hari ini bukan soal Syiah atau Sunni. Ia soal kepentingan kuasa dan kelangsungan pemerintahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa umat Islam perlu memberi tumpuan kepada prinsip keadilan dan kemanusiaan serta tidak terperangkap dalam naratif sektarian yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Mohamad turut mengingatkan bahawa isu mazhab sering dimanipulasi bagi menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam, sedangkan perkara yang lebih penting adalah mempertahankan prinsip keadilan sejagat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat