KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sedang meneliti ratusan dokumen penting, termasuk berkaitan harta benda Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Memetik laporan BH, antara dokumen berkenaan membabitkan aset-aset yang diisytiharkan Ahli Parlimen Bera itu pada 10 Februari lalu.
Dokumen berkaitan pelaksanaan perolehan dan kelulusan tertentu juga dipercayai disemak pegawai penyiasat SPRM ketika ini.
Difahamkan, semua dokumen berkenaan memerlukan pengesahan pemimpin itu menerusi keterangannya yang sedang diambil oleh pegawai penyiasat.
Sumber berkata, penemuan wang tunai yang terlalu besar jumlahnya turut menyebabkan SPRM mengambil masa dalam memeriksa dokumen berkenaan.
“Ia antara faktor Ismail Sabri dipanggil memberi keterangan beberapa hari kerana pegawai SPRM perlu memeriksa ratusan dokumen dalam siasatan berkenaan.
“Antaranya berkaitan pengisytiharan harta yang diberi Ismail Sabri kepada SPRM baru-baru ini.
“Mengenai rampasan aset, SPRM memerlukan tindakan untuk menjustifikasikan sejumlah wang dan barangan berharga yang ditemui,” lapor akhbar itu lagi.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan pegawainya sedang memeriksa sejumlah dokumen dalam siasatan itu, namun enggan mengulas lanjut.
Semalam, Ismail Sabri hadir ke Ibu Pejabat SPRM dan diambil keterangan sekurang-kurangnya lima jam oleh pegawai penyiasat, selepas menunda sesi itu beberapa kali atas faktor kesihatan.
Hari ini, Ismail Sabri menyambung proses memberi keterangan dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri kesembilan itu.
Dalam sidang media SPRM minggu lalu, pihak berkuasa mendedahkan penemuan wang tunai pelbagai mata wang dan jongkong emas yang secara keseluruhannya berjumlah RM177 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah ‘safe house’ di sekitar ibu negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan berkenaan.
Semua hasil rampasan itu juga turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program sewaktu beliau mentadbir kerajaan.
Azam sebelum ini menyatakan Ismail Sabri dikategorikan sebagai suspek kes terbabit selepas beberapa saksi termasuk beliau dipanggil memberi keterangan.
Siasatan terhadap beliau tergendala beberapa kali susulan faktor kesihatan yang tidak mengizinkan selepas dilaporkan rebah di kediamannya sebelum dikejarkan ke hospital.
Siasatan terhadap Ismail Sabri dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.