Tohmah PM Campur Tangan Kes Mahkamah, Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Perdana Menteri membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan membuat laporan polis terhadap Muhyiddin semalam berhubung kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional itu yang mendakwa kes mahkamah terhadapnya ada campur tangan politik.

Susulan laporan berkenaan polis membuka kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Anwar.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Pada jam 4.11 petang tadi (semalam), polis menerima satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan.

“Ia berhubung satu video tular di media sosial berkaitan sidang media oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yassin (Muhyiddin) selepas beliau didakwa di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati, video berdurasi 11 minit 11 saat itu dikatakan mempunyai unsur fitnah terhadap pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara (Anwar),” katanya.

Menurut A Asmadi, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata, laporan itu dibuat supaya polis menyiasat dan mengambil tindakan kerana ia mengundang pelbagai spekulasi buruk terhadap institusi penguatkuasaan dan kehakiman negara.

Katanya, kenyataan yang dilemparkan itu adalah tohmahan dan fitnah untuk mencipta persepsi negatif terhadap Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat