KPDN Sasar Potensi Pelaburan RM550 juta Pameran FIM 2023

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan transaksi pelaburan berjumlah RM550 juta dapat diraih sepanjang Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2023.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof, KPDN turut menjangkakan lebih 15,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari program itu berlangsung di ibu negara bermula 18 Mei depan.

Beliau berkata, setakat ini sejumlah 94 ruang pameran sudah ditempah dengan lebih 80 peratus adalah francaisor tempatan manakala selebihnya daripada lima negara lain termasuk 10 francaisor terkenal dari Korea Selatan, selain empat lagi dari Singapura, dua dari Jepun serta masing-masing satu dari Amerika Syarikat dan Australia.

“Kerajaan amat berharap FIM 2023 akan menjadi platform terbaik kepada usahawan francais bagi mengembangkan potensi pelaburan pasca Covid-19 selain dijadikan medan bagi berkongsi idea dan cabaran terutama kos operasi francais sekali gus memberikan input kepada KPDN menambah baik sektor itu,” katanya dalam sidang akhbar melancarkan FIM 2023 anjuran bersama KPDN dan Persatuan Francais Malaysia (MFA), di sini hari ini.

Program edisi kali ke-30 itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan menawarkan sejumlah 150 ruang pameran dan tujuh sesi plenari termasuk panel asing.

FIM 2022 lalu berjaya mencipta rekod apabila menarik lebih 14,000 pengunjung dan nilai pelaburan menerusi pelbagai memorandum persefahaman (MoU) berjumlah RM450 juta.

Acara tersebut turut mendapat sokongan serta diiktiraf daripada pihak Majlis Francais Sedunia dan Konfederasi Francais Asia Pasifik dengan penyertaan aktif banyak negara luar.

Menyentuh mengenai prospek industri francais di Malaysia, beliau berkata, pihak KPDN menyasarkan boleh berlaku peningkatan konsisten minimum 10 peratus pada setiap tahun.

Bahkan beliau bangga kerana jenama francais tempatan meskipun baru wujud pada awal 1990-an lalu, namun berjaya menapak di lebih 70 buah negara selain menyediakan lebih 80,000 peluang pekerjaan dengan nilai sumbangan melepasi RM1.4 bilion dalam kitaran ekonomi setiap tahun.

Setakat hari ini tambah Azman, pihak KPDN merekodkan sebanyak 1,183 francaisor yang berdaftar di seluruh negara dengan jumlah outlet francaisi mencecah hampir 10,000 buah. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat