Dunia seni hiburan tempatan bakal diserikan dengan kelahiran sebuah karya yang penuh emosi dan makna daripada Ahmad Syafiq. Single terbaharu berjudul Bila Hatiku Rindu, yang akan dilancarkan pada 14 Februari 2025, bukan sekadar lagu biasa, tetapi sebuah luahan hati yang mencerminkan perjalanan peribadi dan cabaran yang dilalui oleh penyanyi muda ini.
Mengimbas kembali pengalaman merakamkan lagu ini, Ahmad Syafiq mengakui ia bukan proses yang mudah. Dalam keadaan fizikal yang keletihan akibat jadual kerja yang padat serta emosi yang terganggu selepas putus cinta, penyanyi ini tetap memberikan sepenuh jiwa dalam rakaman tersebut. “Saya terlalu berhabis menggunakan ‘rasa’ semasa rakaman lagu ini sehinggakan saya merasa loya dan kejang perut disyaki berpunca dari kurang rehat,” katanya.
Namun, segala kepayahan itu terbayar apabila hasil akhirnya begitu memuaskan hati. Lagu ciptaan Barr Hadif, Aiman Zaidi & Eddie Hamid ini disempurnakan dengan lirik penuh makna oleh Aiman Zaidi, menjadikan Bila Hatiku Rindu sebagai satu karya yang dekat dengan hati pendengar, terutama mereka yang pernah melalui fasa kehilangan dalam percintaan.
Nama Ahmad Syafiq bukanlah asing dalam industri muzik Malaysia. Bermula sebagai penyanyi cover di media sosial selepas tamat SPM, dia gigih mencari ruang untuk menonjolkan bakatnya. “Saya tidak jemu ‘tag’ dan ‘mention’ syarikat rakaman serta letak pelbagai hashtag untuk menarik perhatian mereka,” katanya mengenai usahanya dalam membina nama.
Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila dia diterima menjadi artis rakaman di bawah naungan Trend Music sejak 2019. Kejayaan demi kejayaan dikecapi, termasuk menempatkan diri sebagai naib juara Lagu Cinta Kita 2021 serta menggantikan Hafiz Suip dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 untuk lagu Berakhirlah Pencarianku bersama Wani Kayrie.
Sebagai seorang artis yang masih baru dalam industri, Ahmad Syafiq tidak mahu hanya dikenali sebagai penyanyi biasa. Dia bercita-cita untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti dan bermakna kepada pendengar. “Saya berharap Bila Hatiku Rindu akan diterima baik oleh peminat dan menjadi satu lagi batu loncatan dalam perjalanan seni saya,” ujarnya penuh harapan.
Single Bila Hatiku Rindu terbitan Nova Music bakal tersedia di semua platform digital bermula 14 Februari 2025. Video muzik rasmi lagu ini juga akan ditayangkan secara perdana pada hari yang sama jam 3 petang di saluran YouTube Nova Music Videos. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kisah hati Ahmad Syafiq yang diterjemahkan melalui karya terbaharunya ini!