KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat Tan Sri Annuar Musa mendedahkan, setelah dua kali menghadiri Muktamar Pas tidak timbul langsung serangan Pas terhadap Umno.
Namun kata bekas Setiausaha Agung Umno itu, ini berbeza dengan Umno sebelum mula Perhimpunan Agung Umno (PAU) sudah menyerang Pas.
“Saya sudah melalui dua Muktamar Pas, sekali pun tak serang Umno.
“Tapi PAU Umno, awal-awal menyerang Pas..itu bezanya,” bidas Annuar.
Semalam, Umno menganggap kenyataan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah menyebut dulu bahawa ‘jika suatu hari nanti Umno meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaannya, Pas akan dibubarkan’ sebagai wasiat.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bersandarkan wasiat Almarhum Nik Aziz tersebut, beliau meminda Perlembagaan Umno dengan meletakkan asas Islam di dalamnya, sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepemimpinan parti.
“Apabila Almarhum Tan Sri Nik Aziz menyebutkan Umno jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya maka Pas akan dibubarkan.
“Saya anggap itu wasiat, (sebab itu) apabila saya mengambil alih kepimpinan Umno, itu perkara pertama yang saya lakukan. Meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan Umno.
“Tapi, Pas belum terbubar lagilah. Saya harap (Pas) akan terbubar dengan sendiri,” katanya dalam nada berseloroh ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.



