ISTANBUL, 14 Januari 2026 — Menyedari potensi besar industri fesyen Islamik di peringkat global, USANITA Sdn. Bhd. (USANITA) kini giat meneroka peluang mempromosikan fesyen sopan halal atau halal modest fashion (HMF) ke negara-negara Islam yang mewakili hampir dua bilion penduduk dunia, dengan Turkiye dipilih sebagai antara destinasi strategik awal.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, Istanbul khususnya menawarkan potensi yang besar kerana umat Islam masa kini bukan sekadar menitikberatkan pematuhan aurat, malah semakin prihatin terhadap ketelusan rantaian bekalan termasuk penggunaan bahan mentah halal serta amalan pekerjaan yang beretika dan patuh syariah.
Menurut beliau, perkembangan ini selari dengan perubahan landskap pengguna Muslim global yang semakin sedar bahawa konsep halal merangkumi keseluruhan ekosistem pengeluaran, bukan hanya produk akhir semata-mata.
Inisiatif HMF tersebut turut memanfaatkan momentum hubungan dua hala Malaysia–Turkiye yang diperkukuh menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke Turkiye minggu lalu.
“Melalui kajian dan maklum balas yang kami terima, umat Islam di banyak negara kini mahu mengetahui sama ada pakaian yang mereka gunakan diperbuat daripada bahan halal dan tidak melibatkan perkara yang ditegah Islam termasuk penindasan serta eksploitasi pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar. Turut hadir Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Istanbul, Sadat Foster Maad.
Mengulas potensi pasaran, Adzliana berkata unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Muslim bagi kategori pakaian dan kasut mencecah AS$327 bilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada AS$433 bilion menjelang 2028, sekali gus membuka ruang besar kepada jenama dari Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Amiri menyifatkan Istanbul sebagai pintu masuk strategik untuk usahawan Malaysia meneroka peluang perniagaan, khususnya dalam sektor fesyen, penginapan dan penyediaan makanan Malaysia.
Beliau berkata pihaknya menyambut baik inisiatif USANITA meneroka pasaran di Turkiye dan yakin usaha itu boleh direalisasikan berikutan hubungan erat antara kepimpinan kedua-dua negara serta persepsi positif rakyat Turkiye terhadap Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion). Negara itu juga menjadi destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat.
Amiri turut memaklumkan bahawa Turkiye mempunyai potensi besar kepada usahawan Malaysia, khususnya apabila Perdana Menteri menyatakan keyakinan sasaran baharu perdagangan dua hala Malaysia–Turkiye sebanyak AS$10 bilion mampu dicapai dalam beberapa tahun akan datang.
Beliau berkata, pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas antara Malaysia dan Turkiye turut memudahkan proses pelaburan serta kemasukan pasaran bagi syarikat Malaysia.
Mengulas strategi pemasaran HMF, Adzliana berkata jenama fesyen di bawah USANITA, Amber, akan bekerjasama dengan rakan strategik di beberapa negara Islam termasuk Indonesia dan Turkiye melalui program “Bridge to Brilliance” (BtB) yang diperkenalkan syarikat itu.
Menurutnya, platform BtB berfungsi sebagai rangkaian strategik berperingkat yang merangkumi Malaysia melalui BtB 1.0, Indonesia (BtB 2.0), United Kingdom (BtB 3.0), New Zealand dan Australasia (BtB 4.0) serta Turkiye (BtB 5.0).
Beliau berkata, selain fesyen, USANITA turut membantu rakan niaga di Malaysia dan negara terlibat untuk meneroka kerjasama dalam industri makanan serta produk halal, sejajar dengan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab halal global utama.
Dalam masa sama, Adzliana berkata platform BtB 5.0 turut dimanfaatkan bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui pelbagai aktiviti penggambaran dan fesyen yang kini dijalankan di Istanbul, melibatkan lebih 40 artis dan pasukan sokongan dari Malaysia.
Menurut beliau, program BtB 5.0 bukan sekadar lawatan perniagaan, sebaliknya merupakan inisiatif strategik yang menggabungkan diplomasi ekonomi, penjenamaan negara serta industri kreatif bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal dan pusat pembangunan jenama Islamik global.



