KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 seorang bermula Isnin ini kepada murid yang akan memasuki Tahun Dua hingga Tingkatan Lima daripada kalangan keluarga isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

KPM dalam kenyataannya, berkata seramai tiga juta murid di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan.

“Murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 layak untuk menerima bantuan berkenaan.

“Sementara itu, bagi murid Tahun Satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai,” katanya.

KPM berkata, pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

“Sekiranya pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan bagi sesi akademik 2022/2023,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan BAP dinaikkan sebanyak RM150 berbanding RM100 yang diterima pelajar sebelum ini.

Jelasnya, bantuan itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM450 juta.