RM250,000 Diperuntuk Baik Pulih Galeri Bukit Kepong Terjejas Banjir- Hamzah

MUAR – Galeri Bukit Kepong milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda pada 4 Januari lalu mendapat perhatian khusus bagi proses operasi pembersihan fasiliti milik agensi dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya Dato’ Sri Hamzah Zainudin berkata, sejumlah RM250,000 diperuntukan bagi tujuan membaik pulih artifak dan bahan-bahan sejarah penting yang terjejas.

Hamzah yang ditemui dalam sesi lawatan kerja di kawasan terjejas banjir di sini berkata, banjir di negeri Johor meliputi daerah-daerah di Segamat dan Muar memperlihatkan sebagai bencana paling teruk sejak 2011.

“Pihak KDN akan meneliti jumlah aset yang perlu ditambah lagi bagi tujuan operasi banjir ini. Kita telah menambah 11 unit bot penyelamat sebelum ini, namun jumlah ini tidak mencukupi”

“Oleh itu, kementerian akan segera menyemak kembali penambahan keperluan aset taktikal dalam menghadapi gelombang akan datang ”, katanya.

Ditanya tentang jumlah kerosakan fasiliti dan aset dibawah PDRM, beliau menyatakan bahawa proses penguaditan masih dijalankan bagi menilai jumlah kos kerosakan keseluruhan.

“Fokus kita sekarang ini adalah menumpukan operasi pembersihan di kesemua lokasi milik agensi yang terjejas. Dan operasi ini turut melibatkan pihak Pasukan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan aspek keselamatan dititik beratkan sebelum operasi pembersihan dimulakan”.

Bermula 1 Januari lepas, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah diaktifkan diikuti dengan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Sub-Markas Taktikal bagi tujuan menyelaras misi bantuan mangsa banjir dalam skala yang lebih besar dan melibatkan agensi-agensi berkaitan selain menggerakan sukarelawan dalam kalangan anggota dibawah agensi-agensi KDN.

Johor antara negeri dilanda banjir besar yang menjejaskan kawasan Labis, Batu Anam, Buloh Kasap, Pagoh, Tekam, Batu Badak, Bukit Kepong, Lenga dan Tangkak sejak 31 Disember tahun lalu.