Kes Jangkitan COVID-19 Dijangka Berkurangan Dalam Tempoh Empat Minggu

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia dapat dikurangkan kepada sekitar 500 ke 1,000 kes sehari dalam tempoh empat minggu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Jan, pihaknya akan meneliti data-data dan perkembangan kes COVID-19 dalam tempoh dua minggu ini.

“Pada hemat saya dalam tempoh dua minggu ini, mungkin kita tak boleh mengurangkan (kes jangkitan) tetapi kita boleh mengelakkan kes daripada semakin bertambah.

“Kalau kita melaksanakan selama empat minggu, insya-Allah kita boleh kurangkan jumlah kes kepada 1,000 atau kalau boleh kurang 500 kes (sehari),” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

“Selepas PKP, kita akan laksanakan PKP Bersyarat (PKPB) dan kita jangka pada Mei dan Jun kita dapat melandaikan semula lengkungan graf,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dengan pelaksanaan semula PKP, kerajaan telah meletakkan negara pada landasan yang betul dalam usaha menangani jangkitan wabak berkenaan.

Sebaliknya jika negara masih melaksana PKPB, KKM mengunjurkan berdasarkan jumlah kes semasa ketika ini, kes harian pada 12 April depan dijangka mampu mencecah sehingga 5,000 kes manakala 8,000 kes pada penghujung Mei, katanya.

Dr Noor Hisham berkata pendekatan lebih drastik perlu diambil dalam memutuskan rantaian jangkitan pandemik tersebut.

“Kerajaan kena lihat tindakan bersesuaian. Kerajaan telah jalankan PKPB dari 14 Okt hingga kini tetapi PKPB kini tidak lagi sesuai,” katanya – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat