KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Rakyat terutamanya blok pembangkang lega apabila laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Berhubung Kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan tidak diluluskan dan siasatan jenayah ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak diteruskan.
Bukan hanya pemimpin pembangkang bahkan ahli Parlimen kerajaan juga membantah RCI Batu Puteh dan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata, kita mesti menghormati seorang negarawan yang telah banyak menyumbang untuk negara, bukan menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan politik dendam.
“Sejarah terlakar petang ini (semalam) apabila kerajaan membawa usul untuk menyokong cadangan RCI dalam isu Batu Putih, yang antara lain mencadangkan laporan polis dibuat ke atas Tun Mahathir.
” Ini kononnya untuk membolehkan siasatan dilakukan atas dakwaan jenayah beliau membuat keputusan tidak merayu keputusan ICJ tanpa persetujuan kabinet pada tahun 2018.
“Kami berbahas dengan lantang tadi, menggesa kerajaan supaya menarik balik usul ini dan tidak meluluskannya. Sebagai sebuah negara yang menghargai sejarah dan jasa, kita mesti menghormati seorang negarawan yang telah banyak menyumbang untuk negara, bukan menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan politik dendam.
“Jika dua hari lalu kita berbicara tentang titah adendum, hari ini pula kita berbicara tentang a dendam,” tempelak Ketua Penerangan Pas itu.
Kata Fadhli lagi, akhirnya sejarah kembali tercipta apabila Dewan Rakyat ditangguhkan tanpa sebarang pengundian dibuat.
“Nampaknya kerajaan terpaksa tunduk hari ini (semalam).
“Tahniah semua rakan-rakan MP Perikatan Nasional dan tak lupa kepada MP Puncak Borneo, Pasir Gudang dan Muar yang turut menyuarakan tidak setuju dengan usul menteri tadi! Jumpa lagi tahun depan Insya-Allah,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada pembahas yang mengambil bahagian dalam perbahasan laporan RCI Batu Puteh.
“Sidang Parlimen semalam menyaksikan satu episod dramatik apabila perbahasan laporan RCI Batu Puteh dibentangkan dan dibahaskan oleh 10 org ahli Parlimen iaitu Kota Bharu (Pas); Larut (Bersatu); Putrajaya (Bersatu); Pasir Mas (Pas); Muar (Muda); Pasir Gudang (PH); Puncak Borneo (GPS); Segamat (PH); Sri Gading (PH) dan Tenggara (BN).
“Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggunakan platform perbahasan dengan penuh hikmah. Dua daripada Ahli Parlimen Kerajaan sendiri menentang usul ini iaitu Pasir Gudang dan Puncak Borneo,” kata Menteri Besar Terengganu itu.
Ujar Ahmad Samsuri lagi, kesepakatan pemimpin dalam mempertahankan maruah negara harus dipuji.
“Tanpa mengira latar belakang politik, usaha bersama ini membuktikan bahawa agenda nasional tidak boleh dikompromi.
“Akhirnya, usul kerajaan Laporan RCI Batu Puteh kali ini menjadi saksi bahawa suara rakyat tetap didengar apabila pemimpin yang berprinsip bersatu demi kebenaran dan keadilan.Tahniah buat semua,” ujarnya.
Dewan Rakyat pada Khamis membahaskan laporan RCI Berhubung Kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan.
Mencadangkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan memandang serius isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.
Ia selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta menteri terlibat meneliti isu yang dibangkitkan.
Media melaporkan Ahli Parlimen dari blok kerajaan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta semua pihak mengenang segala pengorbanan Dr Mahathir sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, termasuk membangunkan Malaysia.
“Kalau kita hukum Dr Mahathir, adakah kita boleh dapat Pulau Batu Puteh yang dah terlepas itu? Perbicaraan pada peringkat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bukan pada waktu Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
“Saya mintalah… kalau belum ada laporan polis dibuat, janganlah buat. Cukup-cukuplah, tak akan langsung Dr Mahathir tak ada jasa kepada negara?
“Ramai menteri yang ada di sini, pejabat mereka di Putrajaya, siapa yang bina?,” katanya.
Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
ICJ pada 23 Mei 2008, memutuskan Singapura punya hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia dan hak milik Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.