Bomba Mungkin Buat Catuan Cuti Anggota, Kesiapsiagaan Hadapi Banjir – Hamdan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mungkin melaksanakan catuan cuti terhadap anggotanya di seluruh negara dalam usaha memastikan tahap kesiapsiagaan mereka khususnya bagi menghadapi musibah banjir ketika ini sentiasa berada di tahap optimum.

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, catuan cuti berkenaan adalah khusus kepada pegawai di dalam tugas operasi melibatkan 333 balai bomba di seluruh negara.

Bagaimanapun, menurut Mohammad Hamdan, ketika ini keadaan banjir dilihat masih terkawal di seluruh negara.

“Catuan cuti ini khusus untuk pegawai di dalam tugas operasi di seluruh negara, namun kita juga dibantu oleh team yang kita wujudkan seperti Red (rapid deployment team) di 11 kawasan tertentu di Semenanjung (Malaysia).

“Ini termasuk membantu balai yang mungkin tidak cukup dari segi keanggotaan dan aset. Jika mereka ini memerlukan bantuan lebih besar, negeri tidak akan membantu…dan jika anggota tidak cukup anggota yang bertugas di pejabat juga akan kita atur gerak.

“Bagi yang off (cuti) kita akan masukkan juga selain itu dari segi syif, kita buat pertukaran syif daripada 12 jam kepada 24 jam supaya lebih ramai (anggota).

“Kita juga akan terus melakukan pemantauan sama ada di darat serta udara dengan menggunakan helikopter dan juga dron bagi menghantar laporan ke ibu pejabat di Putrajaya dari semasa ke semasa.

“Namun keadaan ketika ini tak begitu mudarat, tak extreme sangat, masih terkawal, tapi sekiranya keadaan banjir di kawasan, kita akan bekukan cuti di kawasan/negeri berkenaan,” katanya pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba Tahun 2020 di JBPM Negeri Johor pada Selasa.

Untuk rekod, pihak JBPM turut berkolaborasi dengan agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia untuk mendapatkan informasi cuaca, selain paras air sungai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Setakat pagi Selasa, terdapat lima negeri iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak dan Johor masih terkesan dengan musibah banjir.

Dilaporkan seramai 2,763 mangsa daripada 834 keluarga ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di kesemua negeri berkenaan.

Sementara itu, Mohammad Hamdan turut mengingatkan penduduk di kawasan yang terkesan akibat banjir untuk sentiasa berwaspada dan melakukan persiapan awal seperti berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Katanya, penduduk boleh meminta pertolongan daripada pihak berwajib seperti bomba bagi membantu.

“Kita pesan penduduk komuniti, masyarakat yang mana penempatan mereka di kawasan hotspot supaya sentiasa berwaspada…ambil tindakan lebih awal, pindah ke tempat lebih selamat, pindah ke PPS selain menyimpan atau bawa sekali dokumen penting ketika berpindah.

“Selain itu dalam keadaan banjir ada beberapa perkara bahaya seperti renjatan elektrik, oleh itu diharapkan agar orang ramai sentiasa berwaspada,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat