Yutaka serius dalam muzik

- Advertisement -

JEJAKA kacukan Jepun-Malaysia ini tidak pernah menyangka dirinya akan bergelar artis sekarang. Minat muziknya dipupuk beberapa tahun kebelakangan ini selepas mendapat sokongan padu rakan terdekat.

Yutaka atau nama sebenarnya Yutaka Ito, 23, mengakui tidak sedar betapa jiwanya ada kesungguhan terhadap penghasilan lagu. Meskipun masih baharu, dia yakin bakat itu memang ada dalam diri.

Lantas, dia menurutkan kata hati untuk memilih cabang muzik demi berkongsi bakatnya. Dia juga semakin seronok berjinak-jinak menulis lagu sendiri yang tepat menggambarkan corak muzik diinginkannya.

“Saya menyedari timbul kesungguhan dan minat mendalam terhadap bidang penghasilan muzik, lebih setahun yang lalu. Awal dulu, perancangan saya cuma ingin bergelar ahli perniagaan selepas belajar di Amerika Syarikat (AS).

“Tidak terlintas di fikiran pun untuk buat muzik atau bergelar artis. Tapi, suatu hari ketika saya asyik menyanyi, rakan saya mencadangkan supaya cuba buat sesuatu dalam bidang muzik.

“Kemudian, saya cuba menulis lagu sendiri dan pada saat itu menyedari betapa seronok mencipta muzik. Bukan sekadar menyanyi atau rap, tapi timbul minat mendalam terhadap muzik dan mula berlatih lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Memiliki kelebihan berdarah Jepun, semestinya Yutaka boleh pergi ke negara matahari terbit itu bagi melebarkan sayapnya. Namun, dia memiliki alasan tersendiri memilih untuk mencipta karier nyanyian di Malaysia.

“Apa yang membuatkan saya mahu cipta nama di sini (Malaysia) adalah kerana saya membesar di pelbagai tempat. Saya selalu bertandang ke Malaysia dan ada ramai kawan di sini.

“Semua kawan yang mencetuskan minat serta percaya dengan bakat saya adalah orang Malaysia. Mereka yang bersungguh cuba menolak saya ke depan dan memberi galakan supaya keluar dari zon selesa untuk teruskan minat dalam muzik,” katanya.

Bagi Yutaka, dia mahu perjalanan muziknya dituai daripada pengalaman sendiri dengan merasai cabaran menjadi artis. Justeru, dia ada corak pendekatan tersendiri apabila menyentuh mengenai strategi hasilkan lagu.

“Saya masih baharu dalam penciptaan lagu dan mula menulis secara serius kira-kira lebih setahun lalu. Jadi, karya saya masih terlalu jauh dari sempurna, tapi percaya setiap artis ada cara tersendiri untuk ekspresikan muzik.

“Ia sama ada salurkan emosi, kejadian atau penyampaian cerita. Misi saya adalah untuk berkarya dengan pendekatan sebegitu dalam menghasilkan lagu tanpa dibebani mahukan sesuatu karya sempurna,” katanya.

Berkongsi mengenai inspirasinya, Yutaka akui bertuah kerana dia sentiasa dikelilingi individu dari latar belakang berbeza ketika membesar. Justeru, dia ingin jadikan kelebihan itu untuk mencorak identiti tersendiri dalam karyanya.

“Inspirasi saya dalam muzik datang daripada pelbagai budaya. Baik dari kalangan kawan di Malaysia, Jepun, Amerika Syarikat dan Afrika. Semua asal usul itu saya jadikan idea untuk disuntik dalam lagu.

“Jadi, corak muzik saya agak tersendiri dan tidak ramai yang menghimpunkan sekali kepelbagaian budaya itu dalam karya lagu mereka. Saya tidak mahu elemen asal usul itu menjadi penghalang untuk mendengar sesebuah lagu kerana muzik adalah sebuah bahasa buat semua,” katanya.

Sebagai pertaruhan sulung, Yutaka tampil dengan lagu berjudul Orange Lamborghini yang dilancarkan pada bulan lalu. Baginya, lagu terbabit sangat bermakna kerana kisahnya membawa mesej mendalam dari pengalaman peribadi.

“Orange Lamborghini adalah berkisar kebebasan untuk meneroka banyak perkara baharu dan corak yang sesuai untuk diri kita. Sebelum ini, saya pernah jumpa beberapa produksi muzik dan disedari suara saya tersekat untuk didengari di sana.

“Cerita lagu ini lebih kepada memberitahu orang lain bahawa kita perlu berani bersuara dan tidak simpan dalam hati. Meskipun lagu itu berentak rancak dan riang, mesejnya mendalam berhubung mencari suara sendiri untuk dibebaskan,” katanya

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat