Kutipan Hasil Kerajaan Meningkat 8.9 Peratus Kepada RM210.4 Bilion – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kutipan hasil kerajaan Persekutuan yang direkodkan sehingga November 2021 mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam masa yang sama, jumlah perbelanjaan meningkat 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang dipengerusikannya hari ini berpandangan semakan semula defisit 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2021 akan dapat dicapai dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini.

“Berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK,” katanya, dipetik dari kenyataan media beliau selepas mesyuarat tersebut.

Antara yang hadir mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidin @ Hamidon dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini.

Beliau berkata dalam jangka sederhana kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu 3.5 peratus berbanding KDNK pada 2025.

“Ke arah ini, Jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya.

Menurut Perdana Menteri lagi, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif di bawah RMKe-12 (RMKe-12) dan kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

“Secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan Kerajaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat