Tawar diri bawa karya tragis

- Advertisement -

MELIHATKAN judul lagu terbaharu Hazama dan Siti Sarah, Terakhir Buat Teman sudah boleh diungkap apa jalan cerita yang cuba dipaparkan menerusi lagu itu.

Melengkapkan lagi karya apresiasi ini, Hazama berkongsi mengenai detik dan memori yang terpahat bersama karya ciptaan Allahyarham Lok U atau Faizal Uzir ini.

“Lagu ini satu karya sangat tragis. Ia lagu yang dicipta oleh seorang sahabat kepada sahabatnya yang terlebih dahulu menemui Sang Pencipta. Lok U hasilkan lagu ini sebagai kenangan buat sahabatnya yang juga pemuzik iaitu Allahyarham Aji dan Allahyarham Kelly yang meninggal dunia sebelum itu,” katanya.

Membuka cerita mengenai kisah di sebalik penghasilan lagu baharu itu, Hazama mengakui tersentuh setiap kali berbicara mengenainya.

“Lagu ini sebenarnya bukanlah sebuah lagu yang lengkap pada awal penghasilannya. Ia sekadar instrumental yang bunyinya sangat merdu dan berjaya menarik perhatian saya ketika kali pertama diperdengarkan oleh Lok U. Jadi, saya sendiri menawarkan diri kepada Lok U untuk menyanyikan lagu ini sekiranya dia ingin menjadikannya sebuah lagu,” katanya.

Pada masa sama, Siti Sarah juga adalah artis yang berkongsi rasa sama dengan Hazama.

“Sarah pun tertarik apabila dia mendengar rakaman lagu ini. Namun, semuanya sudah tertulis apabila Lok U terlebih dahulu dijemput Ilahi,” katanya.

Kalau sudah rezeki, ia tentunya akan menjadi kenyataan. Hazama kemudian dihubungi pihak Indigital Music.

“Nak dijadikan cerita, baru-baru ini, pihak Indigital Music menghubungi saya dan menawarkan untuk merakam lagu ini bagi mengimbau kenangan bersama Lok U. Tapi, mereka maklumkan lagu ini akan dirakam secara duet dengan Sarah. Mungkin ramai tak tahu, Sarah adalah penyanyi wanita yang saya kagumi sejak awal kemunculannya.

“Apabila dapat bergabung dan bekerjasama untuk projek khas ini, ia umpama peluang berharga yang tak mungkin saya lepaskan. Tambahan pula, kami memang ada kenangan masing-masing bersama Lok U dan secara tak langsung, penjiwaan lagu ini akan menjadi mudah buat kami,” katanya.

Menurutnya, rakaman lagu Terakhir Buat Teman juga tidak meletakkan vokal atau populariti sebagai keutamaan.

“Kami tolak tepi mengenai vokal, populariti dan bayaran yang akan diterima kerana keutamaan kami adalah untuk mengenang seorang rakan yang juga orang disegani dalam industri muzik,” katanya.

Terakhir Buat Teman mendapat sentuhan lirik daripada penulis lirik terkenal, Iman Imran dan mula dilancarkan di YouTube sejak 2 Disember lalu.

Sehingga kini, video muzik lagu itu sudah mencatat lebih 237,000 tontonan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat