‘Rasa diri kerdil’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemunculannya mengiringi persembahan pasangan adik-beradik, Azlina Aziz dan Liza Aziz pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pantas menarik perhatian penonton, baru-baru ini.

Sepantas kilat, ramai tertanya-tanya siapa gerangan jejaka tinggi lampai itu.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan muzik hip-hop tanah air, tentu tidak sukar untuk meneka.

Gerangan dimaksudkan adalah Noki iaitu salah seorang anggota kumpulan yang cukup popular dengan lagu Mimpi, K-Clique.

Barangkali namanya belum segah teman band, MK atau Tuju yang menyerlah dengan projek solo masing-masing. Namun, melihat usaha ditunjukkan, tidak mustahil Noki bakal mengikut jejak langkah mereka.

Noki bersama Azlina dan Liza Aziz. - Foto Noki
Noki bersama Azlina dan Liza Aziz. – Foto Noki

 

Noki atau nama sebenar, Ahmad Ikhwan Aji, 26, berharap persembahan pada ABPBH 33 mampu membuka mata ramai bahawa dirinya mampu menyanyi dan menari.

“Tidak dinafikan peluang membuat persembahan pada ABPBH 33 memberi impak kepada kerjaya Noki.

“Mungkin sebelum ini, tidak ramai tahu, Noki boleh menyanyi dan menari. Jadi, Noki gunakan pentas itu untuk mempamerkan bakat yang ada,” katanya kepada BH Online.

Namun, bukanlah bermaksud Noki hendak membelakangkan K-Clique.

“MK walaupun banyak projek solo dan tampil dalam single penyanyi lain, dia tetap membawa nama kumpulan kami.

“Populariti yang dikecapi itu memberi tempias kepada K-Clique. Jadi, tidak timbul soal dibayangi atau membayangi sesiapa,” katanya.

Biarpun memasang impian untuk berjaya dalam projek solo, namun, Noki tidak akan menjadi ‘kacang lupakan kulit’.

“Insya-Allah, Noki ada perancangan untuk tampil dengan projek solo tahun depan. Tuju pun ada single dan album solonya sendiri.

“Tapi kalau hendak cakap Noki keluar dari K-Clique dan fokus kerjaya solo, mungkin tidak,” katanya.

 

Noki teruja bergandingan dengan dua penyanyi legenda, Azlina dan Liza Aziz pada malam kemuncak ABPBH 33, baru-baru ini. - Foto NSTP
Noki teruja bergandingan dengan dua penyanyi legenda, Azlina dan Liza Aziz pada malam kemuncak ABPBH 33, baru-baru ini. – Foto NSTP

 

Noki sedar kerjayanya bermula dengan kumpulan itu.

“Kejayaan yang dikecapi hari ini, semuanya adalah rezeki Allah. Saya tidak akan tinggalkan K-Clique dan mahu terus berjuang bersama mereka,” katanya yang pernah muncul dalam single penyanyi Kakak Azraff berjudul Gila.

Bukan sahaja memberi impak terjadap kerjaya seni, malah peluang beraksi di pentas ABPBH 33 memberi pengalaman berharga buat penyanyi yang berasal dari Sabah ini.

Noki teruja apabila mendapat tahu dirinya bakal digandingkan dengan penyanyi legenda.

“Ketika mula-mula diberitahu Noki akan membuat persembahan dengan Kak Azlina dan Kak Liza, Noki agak kabur sekejap kerana tidak kenal mereka.

“Malah, lagu Bermula Cerita Noki tidak pernah didengari. Selepas membuat kaji selidik, barulah Noki tahu mereka adalah penyanyi legenda tanah air,” katanya.

Menyedari status hebat Azlina dan Liza, Noki jadi gementar.

“Ketika itu, Noki bukan sahaja teruja, malah gementar mengenangkan betapa kerdilnya Noki untuk digandingkan dengan mereka.

“Sudahlah mereka penyanyi berpengalaman, vokal pula hebat.

“Namun, Noki berusaha untuk meyakinkan diri mampu menggalas tanggungjawab ini,” katanya yang menghasilkan sendiri lirik rap berdasarkan jalan cerita lagu berkenaan.

Mengenai karier seni, selain bakal muncul dengan album bersama K-Clique, akhir tahun ini, Noki berkongsi projek yang akan menyaksikan dirinya berganding dengan penyanyi lain.

“Sepatutnya K-Clique sudah melancarkan album. Namun, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kami terpaksa tangguhkan sehingga tahun depan, iaitu sempena ulang tahun ketiga K-Clique,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat