KOTA KINABALU — Pesuruhjaya PAS Sabah yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, tampil menegur keras rakan separtinya, ADUN Kuala Ketil Mansor Zakaria, susulan kenyataan berbaur sindiran terhadap rakyat Sabah dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah semalam.
Dalam video yang tular, Aliakbar menekankan bahawa rakyat Sabah tidak wajar dipandang rendah atau dijadikan bahan perbandingan politik yang memperlekehkan maruah mereka. Video itu memaparkan pesanan tegasnya:
“Orang Sabah ada maruah. Tidak boleh dibeli dengan roti Gardenia.”
Teguran itu dibuat selepas Mansor dalam sidang DUN Kedah semalam berkata:
“Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja.”
Kenyataan tersebut mengundang kemarahan warga Sabah dan mencetuskan kritikan meluas di media sosial.
Mansor mohon maaf
Dalam perkembangan malam ini Mansor menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.
“Saya mohon maaf… tidak berniat menghina rakyat Sabah.”
Beliau mengakui menyedari bahawa kata-katanya menyinggung hati ramai pihak dan menarik balik ucapan tersebut.
“Saya tarik balik dengan niat jujur ikhlas…, saya tidak berniat menghina.”
Mansor menjelaskan bahawa kenyataannya itu dibuat dalam konteks perbahasan isu lain, namun memilih untuk tidak memanjangkan kontroversi tersebut.
Teguran terbuka Pesuruhjaya PAS Sabah terhadap rakan separtinya sendiri dianggap penting kerana menggambarkan sensitiviti masyarakat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri, serta usaha PAS Sabah menjarakkan diri daripada kenyataan yang menyinggung perasaan rakyat negeri itu.- SUARAT.TV



