KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik tampil menangkis tohmahan yang mendakwa beliau individu bertanggungjawab memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Tegas Maszlee sepanjang mengemudi Kementerian Pendidikan dari 2018 sehingga 2020, beliau tidak pernah menghapuskan peperiksaan awam seperti didakwa.
“(Datuk)Radzi Jidin yang mansuhkan UPSR dan PT3. Fadhlina (Sidek) kekalkan mansuh UPSR dan PT3.
“Celah mana pulak Maszlee Malik yang hapuskan? Dari 2018-2020 Maszlee Malik tidak pernah hapuskan apa-apa peperiksaan awam,” tegas beliau di X, pada Selasa.
Pun begitu, beliau menuntut Kementerian Pendidikan bergerak ke hadapan sekiranya kekal dengan penghapusan dua peperiksaan awam berkenaan.
“Apapun, KPM dah bertegas kekalkan mansuh UPSR dan PT3. Move on sahaja.
“Bersama guru dan ibu bapa perkasakan dan perbaiki Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
“Jika tanya saya, apa yang kita mampu buat sebagai rakyat marhaen? Guru-guru dan ibu bapa pupuklah gaya hidup membaca, berfikiran kritis dan juga minda saintifik di kalangan anak-anak.
“Membaca, membaca, membaca dan berfikir… jangan ikut membuta tuli,” pesan Maszlee.