KUALA LUMPUR – Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin kepada negara terutama semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Daim.
“Terima perkhabaran pemergian Tun Daim Zainuddin setibanya di Lima, Peru. Salam takziah buat keluarga Allahyarham.
“Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi Menteri Kewangan. Al-Fatihah,” ucap Perdana Menteri.
Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.