MEROTAI – Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.72 Merotai dahagakan pembaharuan dan pembangunan serta penyelesaian kepada masalah tiga serangkai yang sekian lama membelenggu iaitu air, elektrik dan jalan rosak.
Justeru Timbalan Ketua Wanita PKR Sabah Noraini Abd Ghapur menggesa penggundi di DUN Merotai memberi peluang kepada wakil rakyat yang mempunyai pengalaman mentadbir dalam kerajaan sekali gus dapat menamatkan derita rakyat.
Noraini malah membayangkan impak besar yang bakal menguntungkan rakyat terutamanya dari aspek peluang pekerjaan selain daripada penyelesaian masalah tiga serangkai tersebut.
Pada 26 Sept lalu dalam majlis di Merotai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkenalkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Ruji Ubi anak jati Kampung Haji Matahir, Tawau, yang disifatkan berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan untuk kembali ke kampung halamannya berkhidmat.
Isyarat itu sekali gus sebagai gambaran awal, Anwar yang juga Presiden PKR mencalonkan Ruji sebagai calon PKR di DUN Merotai.
Noraini yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Kalabakan berkata, memandangkan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak meletakkan calon maka pencalonan Ruji yang bertanding atas tiket PKR membolehkan mereka bekerjasama menyelesaikan masalah tiga serangkai itu.
Mengulas lanjut, Noraini mengakui pada peringkat awal Pakatan Harapan (PH) terutamanya PKR berasa agak lain memandangkan Ruji bukanlah orang parti namun selepas beberapa bulan bekerja bersama, jentera PKR berubah positif dan menerima beliau.
“Pada mulanya, kami berasa sedikit berbeza kerana Ruji bukan dari parti kami. Tetapi apabila kami menerimanya dan Ruji telah bekerja dengan kami selama beberapa bulan, saya dapati dia seorang yang sangat rajin.
“Saya dapat lihat penerimaan ahli PKR di kawasan ini adalah positif. Dia rajin, pandai berkempen. Saya nampak potensi yang dia boleh bawa ke Merotai.
“Merotai akan jadi permulaan yang baik untuk Ruji kembali berkhidmat di sini selepas pencen,” katanya ketika ditemui di Ladang Table, dekat sini sewaktu penyerahan Bakul Ihsan pada Isnin.



