PAPAR, – Ketua UMNO Bahagian Papar, Jamal Nerubi, dijangka menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 akan datang.
Jamal yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dilihat sebagai antara calon utama BN untuk mencabar penyandang kerusi tersebut, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar, daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sumber dalaman parti memaklumkan bahawa pencalonan Jamal sedang diperhalusi kepimpinan tertinggi UMNO Sabah, dengan tujuan memperkukuh semula pengaruh BN di kawasan Parlimen Papar yang dianggap antara kubu tradisi parti itu.
“UMNO melihat Jamal sebagai calon yang mempunyai kekuatan akar umbi dan hubungan rapat dengan masyarakat tempatan. Beliau aktif turun padang dan terlibat dalam pelbagai program kebajikan di daerah Papar,” kata sumber itu kepada Suara.TV.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, kerusi DUN Kawang dimenangi oleh Datuk Ghulam Haidar yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dengan memperoleh 7,747 undi, menewaskan calon Warisan Musli Sapan @ Mushafien yang meraih 2,653 undi.
Ketika itu, Ghulam bertanding atas tiket PN dengan sokongan BN.
Namun menjelang PRN kali ini, perubahan landskap politik menjadikan DUN Kawang dijangka menyaksikan pertembungan menarik antara bekas sekutu.
Selain Jamal dan Ghulam, Warisan dijangka akan akan turut meletak calon bagi kawasan majoriti bumiputera Islam itu.-SuaraTV.



