KUALA LUMPUR – Yuran kemasukan ke universiti awam tidak boleh melebihi RM1,500 mulai tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu selari dengan wang pendahuluan pinjaman oleh Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.
“Pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
“Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bahagian hal ehwal pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain juga perlu berperanan memudah cara dan membantu pelajar mempunyai masalah pembayaran yuran.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan kerajaan akan meneruskan diskaun bayaran balik PTPTN sehingga 31 Mac tahun depan.