Kapal ronda, bot pemintas ditambah bantu kawal sempadan perairan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menambah aset-aset perairan antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat serta sembilan buah kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, ini susulan situasi tegang di Laut China Selatan perlu ditangani secara musyawarah.

Kata beliau, Malaysia mengulangi komitmen penyelesaian secara aman menerusi Deklarasi Kod Tatalaku dalam soal pertikaian Laut China Selatan.

Namun ujarnya, ini tidaklah bermakna kita boleh menggadaikan kedaulatan negara.

“Arakian, keselamatan sempadan dan perairan negara akan terus dipertahan di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa.

“Bagi tahun hadapan, kerajaan juga akan membina tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik, Sabah serta kerja awalan pembinaan dua ICQS di Nabawan dan Kalabakan, Sabah,” umum Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat.

Menteri Kewangan juga memaklumkan kerajaan akan wujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara atau single border agency (SBA).

“RM20 juta turut disediakan untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa seluruh negara.

“Mutakhir ini, sempadan tanah air terancam dek cubaan ganggu-gugat anasir luar. Keselamatan negara diasak dengan isu agama, raja dan kaum dijadikan bahan hasutan. Benteng sempadan dan perairan negara perlu dipertahankan bagi menjamin keamanan.

“Keselamatan dalam negara perlu dipelihara bagi mengekalkan keharmonian,” kata beliau lagi.

Hal demikian Anwar berkata, bagi tahun hadapan, Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM19.7 bilion, meningkat RM2 bilion ketimbang tahun ini.

“Sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diperuntukkan RM19 bilion, juga bertambah RM500 juta ketimbang tahun ini.

“Bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, kerajaan akan memulakan proses perolehan aset aset baharu.

“Ini termasuklah perolehan 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),perolehan aset-aset utama Tentera Darat Malaysia seperti 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), 6 Hovercraft Integrated Fast Interceptor serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis,” katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan, kerja-kerja memasang pulih dua aset kapal selam selain meneruskan perolehan tiga buah Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta perolehan bagi menggantikan aset lama dengan tujuh buah pesawat kapal terbang twin engine dan lima buah helikopter ringan PDRM.

Perkembangan lain, Anwar memaklumkan RM400 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

“RM20 juta turut disediakan untuk menaik taraf sistem pembetungan Kem Tentera Darat secara berfasa.

“Kerajaan akan terus menggiatkan inisiatif PROTEGE-RTW yang merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak Kerajaan dan meluaskan skop kepada golongan veteran ATM di bawah kontrak yang dimeterai oleh Kementerian Pertahanan.

“Bagi melindungi kebajikan dan pembangunan sosioekonomi anggota veteran, setiap program Kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan,” ujar beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat