CYBERJAYA – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan pekebun kecil getah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan atas peruntukan dan sokongan kepada sektor perladangan dan komoditi melalui pembentangan belanjawan tahun 2024.
Pengerusi RISDA Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pengumuman kerajaan untuk meningkatkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta merupakan berita gembira bagi pekebun kecil dan penoreh getah.
“Sudah pastinya memberikan satu berita gembira kepada penoreh getah yang dapat meningkatkan pendapatan mereka.
“RISDA yakin dengan adanya peningkatan ini, ianya akan meningkatkan permohonan tanam semula dan perusahaan kebun – kebun getah matang kembali aktif pada tahun 2024,” katanya.
Dr Noraini berkata, pihak RISDA juga amat menghargai inisiatif Kerajaan dalam memberikan peruntukan sebanyak RM90 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang mereka.
“Langkah ini akan membolehkan kepelbagaian pendapatan pekebun kecil dan tidak hanya bergantung kepada sumber getah semata–mata.
“Selain itu, RISDA menghargai inisiatif Kerajaan yang menyediakan peruntukan sebanyak RM 100 juta dan RM 70 juta untuk memperkasa industri sawit melalui program tanam semula dan kelestarian.
“Ini akan memperkasakan lagi penglibatan syarikat-syarikat di bawah RISDA yang bergiat aktif dalam bidang industri sawit Negara.
“Pihak RISDA juga amat berbangga dengan pengumuman Perdana Menteri berhubung pembangunkan kaedah penggunaan gas stimulan yang dapat meningkatkan pengeluaran getah.
“Melalui peruntukan sebanyak RM10 juta untuk projek rintis ini, ianya bakal memberikan nilai tambah kepada inovasi industri getah negara,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, secara keseluruhannya, peruntukan sebanyak RM2.4 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA adalah langkah proaktif yang akan memberi manfaat besar kepada pekebun kecil dalam meningkatkan aktiviti agrikomoditi dan sosioekonomi.
“Kami berharap dengan sokongan dan insentif yang diberikan, sektor perladangan dan komoditi, khususnya industri getah, akan terus berkembang dan memberi sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negara.
“RISDA akan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan dalam menjayakan setiap inisiatif yang telah dirancang untuk kesejahteraan pekebun kecil dan industri perladangan negara,” kata Noraini.