KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 ringgit sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.
Selain itu katanya, kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.
Anwar berkata, pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.
“Pada tahun 2022, trend menunjukkan, 10 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50 peratus subsidi, sedangkan 50 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi yang diberikan.
“Maka sebab itu, bermula tahun ini, kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa yang sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna.
“Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik RM20 bilion. Namun, kerajaan masih menanggung subsidi elektrik 16 bilion ringgit untuk tahun 2023 khususnya bagi pengguna di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Kerajaan akan terus menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik. Kerajaan berharap, keputusan ini memberi isyarat tepat kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga dan amalan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik seharian,” katanya.
Hal demikian katanya, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 ringgit sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.
“Selain itu, kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri,” katanya.
Perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bahan api diesel juga berdepan isu ketirisan yang serius.
“Harga diesel bersubsidi semasa ditetapkan pada RM2.15 sen berbanding harga pasaran RM3.75 sen seliter. Ini bermakna, kerajaan menanggung RM1.60 sen bagi setiap liter diesel atau sekitar RM1.5 bilion keseluruhannya.
“Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang 3 peratus.
“Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah,” ujar beliau.
Hal demikian, kata Anwar bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa.
“Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan.
“Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ianya dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat,” katanya.
Selain itu, Anwar juga menyebut, bagi menjayakan hasrat penyasaran semula subsidi, hubungan perdagangan antara pembeli dan penjual haruslah jujur.
“Walaupun kita tidak menafikan hak peniaga untuk mengaut keuntungan yang munasabah, tetapi gejala kartel dan pakat harga yang menyebabkan kenaikan harga berlebihan dan tidak terkawal bertentangan dengan prinsip Madani.
“Kerajaan tidak akan berdiam diri sekiranya penyasaran semula subsidi dijadikan alasan untuk menaikkan harga dengan semberono dan tidak munasabah.
“Oleh itu, tumpuan kerajaan adalah untuk menghapuskan amalan parasit ini melalui langkah kawalan ketat dan menyeluruh oleh
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di samping memperkukuh kapasiti dan fungsi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan peruntukan RM10 juta,” tegas beliau.