KUALA LUMPUR -Kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, setakat Ogos, lebih 4,100 jalan berlubang di Jalan Persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih.
Perdana Menteri mengingatkan, kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan MARRIS berjumlah RM5.4 bilion yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat.
“Tahun hadapan, RM2.8 bilion ringgit disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4.
“Khidmat Jurutera Daerah akan terus diperkasa bagi segera menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan Jalan
Persekutuan.
“Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM200 ribu ketimbang RM100 ribu kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.
“Selain itu RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.
“Manakala RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Juga Menteri Kewangan memaklumkan, sebanyak RM50 juta disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik.
“Kecelakaan di jalan raya terus menyumbang angka kematian yang tinggi.
“Sedasawarsa yang berlalu, kita mencatatkan purata lebih 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya. Terbaharu, tentunya insiden tragis yang meragut nyawa enam sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat Bandar Muadzam amat-amat mengesankan dan seluruh watan turut berduka.
“Aspek keselamatan jalan raya akan terus diberi pertimbangan utama,” ujarnya.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus membela nasib rakyat dan menumpukan keutamaan terhadap perkhidmatan dan projek-projek yang memberi kesejahteraan kepada rakyat.
“Misalnya pembaikan tandas, tidak boleh diterima akal bahawa selama ini kita membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur.
“Insya-Allah, projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya tahun ini juga.
“Tahun hadapan, tekad yang sama akan diperhebat bagi membaik pulih tandastandas awam seluruh negara.
“RM150 juta disediakan bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 PBT seluruh negara,” umum beliau.