PM umum RM2,400 rebat untuk rakyat beli motosikal elektrik, EV sebagai kenderaan rasmi kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik , kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal
Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120 ribu ke bawah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim ini akan memberikan rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

Menurut beliau, kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti TNB, Gentari dan TeslaMalaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.

Kata Anwar, peluncuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) menggariskan enam pemacu utama peralihan tenaga antaranya melibatkan tenaga boleh baharu, hidrogen, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“Bagi menterjemah hasrat NETR, kerajaan menyediakan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara dengan nilai keseluruhan
berjumlah RM2 bilion.

“Selain itu, institusi kewangan juga menyediakan dana pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM200 bilion ringgit untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon.

“Bagi mencapai sasaran 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050, usaha menambah baik pelaksanaan Corporate Green Power Programme diteruskan sebagai salah satu kaedah pelaksanaan model Akses Pihak Ketiga (TPA),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus menerokai model TPA dan membangunkan kaedah pelaksanaan yang sesuai untuk memacu pelaburan dalam kapasiti tenaga boleh baharu.

“Kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV,” katanya.

Susulan itu, Anwar menyatakan, bagi menyokong keperluan projek LRT3, Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depoh bas dengan kos RM600 juta.

“Kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh 4 tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh 2 tahun lagi.

“Usaha menggalakkan pemasangan panel solar turut akan dipertingkatkan.

“Kerajaan sedia melanjutkan tempoh tawaran program Net Energy Metering (NEM) sehingga 31 Disember 2024 bagi menggalakkan
lebih ramai memasang panel di premis kediaman,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang membangunkan program pembelian balik solar di bumbung bangunan dengan implikasi kos kepada sistem yang minimum.

Pada masa yang sama ujar Anwar, kerajaan menyeru syarikat untuk menawarkan model langganan “Kos Modal Sifar”, seperti yang
akan ditawarkan oleh Gentari bagi kategori rumah kediaman.

“Putrajaya akan dijadikan model bandar rendah karbon Malaysia.

“Kerajaan akan mula memasang panel solar di atap bangunan Kerajaan dengan kerjasama TNB dan Gentari.

“Pentadbiran Persekutuan juga akan mula menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi,”umum beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkat, kerajaan akan terus menyokong pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).

“Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian cukai kepada syarikat pengurusan dana yang menguruskan dana SRI serta potongan cukai ke atas kos penerbitan sukuk SRI sehingga tahun taksiran 2027.

“Untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat menyertai pasaran karbon sukarela, Kerajaan mencadangkan potongan cukai tambahan sehingga RM300 ribu diberikan kepada syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas Measurement, Reporting and Verification (MRV) berkaitan pembangunan projek karbon.

“Perbelanjaan ini boleh ditolak daripada pendapatan penjualan kredit karbon yang didagangkan di Bursa
Carbon Exchange (BCX).

“Kerajaan akan memastikan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 kekal relevan dengan keperluan semasa industri huluan minyak dan gas di samping meningkatkan minat pelabur asing.

“Jawatankuasa Semakan Semula Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 yang dianggotai Kementerian Kewangan, LHDNM dan PETRONAS sedang mengkaji dan merangka insentif cukai bagi projek CCS dan Hydrogen Sulphide. InsyaAllah, kajian ini akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini,” kata Perdana Menteri lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat