KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM90 juta kepada RISDA dan FELCRA untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.
Selain itu, menurut Perdana Menteri bagi meningkatkan produktiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop galakan cukai automasi akan diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dalam Belanjawan 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram.
“Sekali lagi setelah mendengar keluhan para pekebun getah, kerajaan bersetuju untuk menaikkan paras harga
pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta,” umum beliau ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setakat Jun 2023, sektor agrikomoditi telah menyumbang RM38 bilion atau sekitar 5 peratus kepada KDNK dan RM77.4 bilion atau 11 peratus kepada eksport negara.
“Pencapaian membanggakan ini tetap tidak terlepas daripada pelbagai tantangan dan kemeruapan ekonomi global.
“Ini termasuklah kesan pelaksanaan non-tariff barrier oleh negara pengimport seperti European Union Deforestation-free Regulation (EUDR), isu kebergantungan tenaga asing dan adaptasi teknologi moden.
“Oleh itu, kerajaan menyediakan RM2.4 bilion ringgit kepada FELDA, FELCRA dan RISDA untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil,” kata Anwar.
Menteri Kewangan itu turut menyatakan, menjelang 2027, keluasan sawit tua yakni lebih 25 tahun dijangka mencapai lebih 560 ribu hektar dan ini akan menjejaskan produktiviti hasil buah tandan segar dengan kerugian sehingga RM7 bilion setahun.
“Bagi membendung masalah ini, Kerajaan akan menyediakan Insentif Program Tanam Semula Sawit dengan peruntukan RM100 juta.
“Insentif ini akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian,” ujarnya.
Kata Anwar lagi,industri kelapa sawit negara perlu terus dipertahan daripada salah tanggap Eropah.
“Kerajaan menyediakan RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa.
“Lembaga Getah Malaysia telah berjaya membangunkan kaedah penggunaan gas stimulan yang berupaya memangkin pengeluaran getah sehingga tiga kali ganda di samping mampu menambah jangka hayat pokok getah sehingga 25 tahun.
“Maka RM10 juta disediakan bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan untuk manfaat pekebun kecil getah di ladang seluas 1,000 hektar,” umum beliau.