Nazrey Johani buat laporan polis

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Penyanyi nasyid Nazrey Johani, 50, membuat laporan di balai polis Kota Kinabalu semalam selepas mengesan wujud ‘scammer’ melakukan penipuan wang menggunakan namanya untuk dana membina madrasah.

Nazrey yang juga bekas penyanyi kumpulan Raihan berkata, dia tidak mahu penipuan itu terus berlaku selain bimbang wujud ‘scammer’ lain pula yang cuba mengambil kesempatan meraih keuntungan selepas ini.

“Kami mengesan beberapa penipuan menggunakan nama Maahad Tahfizul Ustaz Nazrey Johani, Al Amin Malaysia dan The GHH Enterprise. Inilah yang baru kami dapat tahu, maka saya terus buat laporan polis.

“Saya ingin tegaskan, nama-nama itu bukanlah nama kami gunakan dalam usaha mengumpul kembali dana membina Maahad Tahfiz Bayu Syahadah di Ranau, Sabah. Oleh itu, kami mohon semua berhati-hati sebelum masukkan sumbang ke mana-mana akaun.

“Pastikan sumbangan hanya ke akaun Maybank menggunakan nama Al Tahfiz Bayu Syahadah. Insya-Allah, harta dan wang yang anda infakkan ke jalan Allah, masuk ke akaun yang benar dan dapat kami manfaatkan untuk membina semula madrasah itu,” katanya.

Nazrey juga kesal apabila ada yang menjadi mangsa penipuan itu dan meminta semua dijauhkan daripada musibah sebegitu dengan pendedahan terbarunya.

“Ada beberapa mangsa yang menghubungi saya dan pengurusan Maahad Tahfiz Bayu Syahadah. Mereka menyatakan bahawa mereka menyumbang menggunakan TOYYIBPAY tetapi apabila kami periksa, sumbangan mereka tiada rekod dalam sistem,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nazrey memerlukan dana antara RM2 juta sehingga RM3 juta untuk membangunkan semula sekolah tahfiz miliknya yang runtuh selepas mengalami beberapa kali gegaran gempa bumi di Sabah.

Sekolah tahfiz di Batu 2 Jalan Lombong Tembaga Mamut, Ranau itu dibina pada 2016, namun sejak Oktober tahun lalu dihentikan operasi akibat kerosakan dan keruntuhan bangunan kerana musibah berkenaan.

 

MAAHAD Tahfiz Bayu Syahadah milik Nazrey yang runtuh sebelum ini kini dalam pembinaan semula.
MAAHAD Tahfiz Bayu Syahadah milik Nazrey yang runtuh sebelum ini kini dalam pembinaan semula.

 

Sementara itu, Nazrey turut bersyukur apabila ada penyumbang yang sanggup menghulur bantuan kewangan untuk dia membangunkan semula Maahad Tahfiz Bayu Syahadah.

“Alhamdulilah, ada yang menyumbang tapi belum betul-betul rancak. Saya bersyukur juga kerana proses kerja-kerja binaan terus dapat berjalan sebab dah mula masuk sumbangan.

“Terlalu banyak yang perlu dibina untuk pembangunan semula sekolah tahfiz ini. Kali ini, saya nak usaha lengkapkan segala kemudahan bagi keselesaan pelajar untuk menimba ilmu dan guru yang mengajar.

“Antara kemudahan yang kena disiapkan itu seperti asrama untuk 100 pelajar sekurang-kurangnya, tiga buah rumah ustaz, dapur dan dewan makan, bangunan kelas, pejabat, perpustakaan, pondok keselamatan, stor peralatan, ruang parkir serta membuat jalan baru,” katanya kepada Harian Metro.

Nazrey berkata, sekiranya dia menggunakan khidmat kontraktor binaan profesional mengikut pelan yang dihasilkan, jumlah kos diperlukan kira-kira RM6 juta untuk menyiapkan kemudahan penuh berkenaan.

Bagaimanapun, jika membuat sendiri secara perlahan-lahan dengan mencari tukang rumah tempatan, membeli sendiri bahan-bahan pembinaan tanpa mengguna khidmat kontraktor binaan profesional, anggaran kos dana pembangunan diperlukan antara RM2 juta hingga RM3 juta.

“Menerusi usaha giat dijalankan untuk mengumpul dana pembangunan sedikit demi sedikit ini, maka ia memerlukan masa selama tiga tahun untuk disiapkan seluruh kemudahan bagi Maahad Tahfiz Bayu Syahadah,” katanya.

Nazrey berkata, Maahad Tahfiz Bayu Syahadah dan sebuah lagi sekolah tahfiz lama miliknya di Kampung Bitoon, Ranau juga sudah berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Orang ramai yang berminat menyalurkan sumbangan membangunkan semula Maahad Tahfiz Bayu Syahadah, boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun Maybank 555050133711 atas nama Al Tahfiz Bayu Syahadah Resources.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat