Air mata Zamani jentik emosi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebak dan sayu menyelubungi kira-kira 2,000 penonton Konsert Doa Buat Zamani di Zepp Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Suasana jadi pilu sebaik melihat penyanyi, Zamani Ibrahim gagal menahan air mata tatkala menyanyikan lagu Namun Ku Punya Hati yang pernah dipopularkan kumpulan The Revolvers pada segmen terakhir konsert itu.

Baru beberapa baris lirik lagu itu didendangkan, bekas vokalis kumpulan Slam itu terpaksa menghentikan nyanyiannya.

Zamani menangis teresak-esak sebelum ditenangkan pengurusnya, Aalan di atas pentas.

Ternyata melihat sokongan diberi dan usaha pelbagai pihak membantunya menjalani pembedahan tulang belakang, membuatkan perasaan Zamani tersentuh hingga air mata lelakinya tumpah di pentas yang cukup bermakna buat dirinya itu.

“Minta maaf jika nyanyian saya tersalah atau tidak sampai disebabkan kesihatan saya ini. Saya harap anda semua faham dan terhibur.

“Saya sangat terharu dengan sumbangan yang diberi. Sejujurnya, doa yang dipanjatkan selama ini sudah cukup bermakna buat saya.

 

Zamani mengumpul kekuatan untuk beraksi pada Konsert Doa Buat Zamani di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto NSTP Hazreen Mohamad
Zamani mengumpul kekuatan untuk beraksi pada Konsert Doa Buat Zamani di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto NSTP Hazreen Mohamad

 

“Doakan pembedahan saya lancar dan saya dapat kembali untuk menghiburkan anda semua. Insya-Allah,” luah Zamani.

Pada malam itu, penyanyi yang berasal dari Ampang, Selangor ini membuktikan betapa kentalnya semangat juang yang ada dalam diri.

Zamani tetap menghiburkan penonton biarpun terpaksa menyanyi dalam keadaan membongkok berikutan penyakit Scoliosis yang dideritainya.

Meskipun berdepan ujian kesihatan, namun suatu hakikat yang harus diterima adalah keadaannya itu bukanlah halangan untuk Zamani memberi persembahan terbaik.

Vokal padu yang dimilikinya membuatkan penonton terlupa yang Zamani ketika itu sedang sakit.

Setiap lagu yang dinyanyikan, disampaikan Zamani dengan baik serta penuh penjiwaan.

Persembahan malam itu dimulakan dengan lagu Kurnia sebelum menyaksikan dia berpadu suara dengan penyanyi Undangan, Datuk Ramli Sarip menerusi lagu Senandung Hidup Berbudi.

Emosi penonton tersentuh saat bekas peserta Gegar Vaganza (GV) musim kelima itu mendendangkan lagu popularnya seperti Syair Si Pari-Pari, Entah Mengapa, Kala Hujan, Damai Di Hati serta lagu ‘berhantunya’, Gerimis Mengundang yang disampaikan bersama penyanyi undangan lain iaitu Rahim Maarof dan Fauziah Latiff.

Sesuai dengan nama konsert, malam itu menyaksikan penyanyi nasyid yang juga bekas anggota kumpulan UNIC, Dr Fitri Haris menitipkan doa buat Zamani agar pembedahan awal bulan depan, lancar dan dipermudahkan.

Selain hasil jualan tiket yang akan digunakan untuk membiayai kos pembedahan penyanyi berusia 51 itu, konsert itu juga bertujuan untuk membantu Zamani meneruskan kehidupan selepas pembedahan.

Konsert anjuran Indera Entertainment itu menyaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli memberi sokongan terhadap persembahan Zamani.

Tabung khas 24 jam dibuka pada malam konsert untuk mengumpul dana tambahan membantu Zamani.

Pencetus inisiatif, Datuk Aznil Nawawi melelong beg berjenama mewah bernilai

RM14,000 bagi mengumpul dana.

Berita Harian

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat