FINAS siasat kes langgar SOP, dadah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyiasat kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan penularan kes COVID-19 dan dakwaan penyalahgunaan dadah seorang pengarah filem, penolongnya serta seorang pelakon di Perak, baru-baru ini.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata pihaknya memandang serius kedua-dua kes terbabit dan akan mengambil tindakan tegas jika individu didakwa bersalah.

“FINAS sedang membuat siasatan terperinci berikutan kes penularan COVID-19 dan penyalahgunaan dadah di lokasi penggambaran.

“Jika terbukti kecuaian pematuhan SOP dan penyalahgunaan dadah oleh syarikat produksi terbabit, FINAS akan segera menarik balik kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

“Malah, penerbit yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD) juga dibatalkan pembiayaan kerana melanggar peraturan dalam perjanjian yang sudah dimeterai,” katanya kepada BH Online.

Zakaria berkata, penerbit, tenaga produksi dan pelakon yang terbukti terbabit dalam kes pelanggaran SOP dan dakwaan penyalahgunaan dadah akan disenarai hitam.

Tambahnya, langkah itu membuktikan FINAS memandang serius isu yang tular dalam portal dan platform media sosial sejak akhir-akhir ini.

Zakaria berkata, dalam mengawasi SOP syarikat produksi, FINAS mengingatkan semua Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) untuk menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.

“PPP yang sudah dilantik syarikat produksi perlu memainkan peranan dan menunaikan tanggungjawab dengan sentiasa memastikan artis dan kru mematuhi semua garis panduan ditetapkan dan membuat rekod dalam buku log yang disediakan FINAS,” katanya.

Zakaria berkata, FINAS sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani dan menyelesaikan isu berbangkit demi memastikan nama baik industri kreatif terpelihara.

“FINAS ingin menyatakan komitmen untuk bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP.

“Kami juga mengalu-alukan aduan daripada masyarakat sekiranya mendapati berlaku perlanggaran SOP aktiviti penggambaran,” katanya.

Sementara itu, FINAS dalam kenyataan media menyebut, perbadanan itu sudah mengambil langkah proaktif bagi memantau aktiviti penggambaran filem di bawah SPP Khas bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi SOP digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“FINAS sudah mengambil inisiatif dengan menyalurkan maklumat dan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya (bagi kes perlanggaran SOP MKN),” katanya.

 

Semalam, Niezam bersama dua lagi individu membabitkan pengarah filem dan penolongnya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu. - Foto NSTP
Semalam, Niezam bersama dua lagi individu membabitkan pengarah filem dan penolongnya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu. – Foto NSTP

 

Selain itu, kenyataan media menambah, Unit Penguatkuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS juga sudah membuka kertas siasatan terhadap kes berkenaan sebelum tindakan seterusnya diambil selaras sistem perundangan negara.

Sebelum ini, media media melaporkan tujuh kru produksi pulang ke Kuala Lumpur selepas dijangkiti COVID-19 ketika menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Semalam, pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, bersama dua lagi individu membabitkan pengarah filem dan penolongnya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

Muhamad Niezam, 28; pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49; serta penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46; membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar, jam 7.15 pagi 10 Oktober lalu.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine pada waktu, tarikh dan di lokasi sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 ke atas Muhamad Niezam, Mohd Latiff (RM2,600) dan Saiful Zaidrin (RM3,200) masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya

sekali, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia Mohd Dean Lau Abdullah dilaporkan mendakwa ada kru produksi yang menjalani penggambaran di Perak pulang ke ibu kota selepas tujuh anggota produksi positif COVID-19.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat