KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) akan memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Ini terkait dakwaan kononnya penglibatan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dengan jenayah pemerdagangan manusia.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya sentiasa bersedia dan akan menjawab writ saman dikemuka Mashitah itu.
“Kita sentiasa bersedia dan akan failkan pernyataan pembelaan untuk menjawab segala kenyataan beliau dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan dan diserah kepada kita tersebut,” kata Hishamuddin kepada Suara.TV pada Jumaat.
Terdahulu dilaporkan, Mashitah menyaman Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berhubung kenyataan di media sosial yang didakwa berbaur fitnah mengaitkan penglibatannya dalam jenayah pemerdagangan manusia.
Penyataan fitnah itu membawa maksud kononnya Mashitah (plaintif) dan suaminya mempunyai hubungan perniagaan dan persahabatan dengan seorang individu yang didakwa sebagai pengasas serta ahli sindiket kepada satu kumpulan mafia yang didakwa dikenali sebagai `14K’.
Mashitah, 60, memfailkan saman itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 September lalu atas kapasiti peribadi menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Beliau menamakan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, 45, Ahli Jawatankuasa MHO Azirul Syafiq Sazali, 29, dan pertubuhan itu masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diikrarkannya, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia itu mendakwa Hishamuddin telah memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan atau menyebarkan satu video kenyataan media yang dibuat ketiga-tiga defendan pada 28 Ogos lalu di akaun Facebook `Hishamuddin Hashim’.
Plaintif mendakwa klip kenyataan media itu beserta dengan kapsyen `Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar’ melalui satu posting Facebook milik MHO di bawah akaun yang dikenali sebagai `Hishamuddin Hashim’.
Dakwa plaintif pada tarikh sama, Azirul Syafiq juga memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan klip video sama melalui satu posting Facebook miliknya.
Beliau berkata, pada keesokannya Hishamuddin memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan suntingan klip video bertarikh itu dengan kapsyen `Sidang Media berkenaan penglibatan bekas Timbalan Menteri dengan syarikat Dongmei Group yang didakwa antara sindiket pemerdagangan manusia & scam paling besar di Myawaddy, Myanmar’.
Katanya, melalui klip video itu, MHO dan Hishamuddin telah menunjukkan beberapa keping gambar plaintif (Mashitah) yang dikaburkan ketika kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan.
Menurut Mashitah, MHO dan Azirul Syafiq juga memuat naik kenyataan media bertulis oleh defendan ketiga itu yang disediakan dan dikeluarkan oleh MHO berkaitan klip video berkenaan.
Sementara itu, pada 3 September pula, Mashitah berkata MHO dan Azirul Syafiq memuat naik, menerbitkan dan menyebarkan satu posting Facebook yang memfitnahnya.
Memandangkan kononnya plaintif dan suaminya mempunyai hubungan dengan syarikat tersebut, maka plaintif dikaitkan sebagai individu yang sama-sama terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia.
Ini termasuk pemerdagangan rakyat Malaysia dan telah melakukan jenayah kemanusiaan terhadap individu-individu yang lemah dan/atau tidak berdosa tanpa sebarang belas ehsan dan perikemanusiaan.
Selain itu kenyataan itu juga membawa maksud penglibatan plaintif secara langsung dengan syarikat tersebut adalah suatu skandal jenayah terbesar yang amat memalukan negara ini pada mata dunia.