KUALA LUMPUR – Pemuda Pas dinasihatkan tidak membuang masa mendesak Umno meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi menegaskan, Umno sudah buat keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan bahkan ia lebih baik berbanding Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Tidak perlu Pemuda Pas cabar Umno tinggalkan Kerajaan Perpaduan. Umno memang serius mempertahankan kesucian agama Islam.
“Umno terbukti konsisten dan tegas dalam mempertahankan isu Melayu dan Islam. Umno tidak berkompromi dalam isu stoking, isu logo halal hatta Umno menolak “kampung baru” jadi tapak warisan.
“Umno sudah buat keputusan kekal dalam Kerajaan Perpaduan. Ia lebih baik dari Kerajaan PN,” bidas Puad.
Adun Rengit itu berkata demikian sebagai respons balas kepada Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mencabar Umno meninggalkan Kerajaan Perpaduan dengan berkata mereka perlu berbuat demikian jika parti itu serius mempertahankan kesucian agama Islam.
Kata Afnan Hamimi, Umno tidak mendapat penghormatan yang sewajarnya sebagai ahli gabungan pemerintah, terutama daripada DAP.
Puad menempelak cadangan Pemuda Pas itu dengan mengungkit bahawa Umno tidak dirundingi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak menggantung Parlimen.
“Pas pula jadi pak turut.
“Berbeza pendapat secara terbuka antara satu dua pemimpin bukan lagi taboo. Yang penting dalam Kabinet ia dirundingi.
“Umno sudah ada pengalaman. Bila Kerajaan Muhyiddin keras kepala, Umno tanpa kompromi tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
“Tidak perlu ajar Umno,” tempelak Puad.