KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP.MY), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menyeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memainkan peranan aktif terutama memastikan premis-premis yang menggunakan nama agama atau pendidikan agama dipantau dengan lebih ketat terutama sekali institusi pendidikan dan kebajikan yang melibatkan kanak-kanak.
Tegas beliau, setiap premis yang terlibat mesti melalui pemeriksaan yang ketat dan rapi untuk memastikan tiada unsur penderaan, eksploitasi, atau manipulasi agama yang berleluasa seperti yang tular dalam media sosial kini.
“Penting untuk kita mengambil pendekatan yang teliti dalam menangani isu ini. Walaupun serbuan telah dilakukan dan individu-individu terlibat telah ditahan, kita perlu memastikan bahawa proses siasatan diteruskan dengan penuh ketelusan dan segala bukti yang dikumpul disemak dengan adil.
“Ini termasuk memastikan kanak-kanak yang terlibat diberi perhatian dan dilindungi sepanjang proses ini,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Beliau yang juga Adun Juasseh,menghargai usaha polis menjalankan Op Global yang telah melakukan serbuan ke atas 20 premis GISB di Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain adalah satu langkah penting dalam membongkar aktiviti tidak bermoral ini dan bukti nyata komitmen mereka dalam melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi.
“Kita perlu memastikan bahawa kanak-kanak yang telah menjadi mangsa eksploitasi menerima sokongan yang sepenuhnya, merangkumi dari segi perlindungan, pendidikan, serta bantuan dalam aspek mental dan emosi mereka.
“Justeru, GAP.MY merupakan sebuah NGO dan komited untuk menawarkan bantuan kaunseling dan guaman kepada mangsa dan keluarga yang terlibat. Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan-badan berkaitan untuk memastikan kanak-kanak ini mendapat bantuan yang diperlukan untuk pulih
daripada trauma ini.
“Sudah tentu, kita perlu gerak bersama dalam memfokuskan bantuan kepada mangsa dan kami juga berharap agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dapat terlibat bersama-sama dan secara aktif dalam memantau proses siasatan, mengkaji punca utama peningkatan kes eksploitasi kanak-kanak yang dikaitkan dengan institusi keagamaan, serta memberikan rekomendasi kepada kerajaan untuk memastikan semua hak kanak-kanak dilindungi dan keadilan ditegakkan.
“Kami juga menggesa supaya usaha memperkasakan pendidikan seksualiti (CSE) yang komprehensif kepada anak-anak kita tentang sentuhan selamat atau sentuhan tidak selamat ditekankan dengan segera.Ini termasuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai hak mereka terhadap tubuh badan mereka, konsep autonomi badan, serta bagaimana mengenal pasti dan melaporkan sentuhan yang tidak selamat,” jelas Bibi Sharliza.
Kata beliau, pendidikan ini bukan sahaja memberikan kanak-kanak pengetahuan asas tentang tubuh mereka, tetapi juga melindungi mereka daripada
potensi ancaman penderaan seksual.
“GAP.MY akan terus memperjuangkan hak kanak-kanak dan wanita untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk eksploitasi dan keganasan.
“Dan apabila kita gagal melindungi anak-anak kita, kita gagal sebagai sebuah negara, sebagai sebuah komuniti, dan sebagai sebuah masyarakat,” ujarnya.
Bibi Sharliza berkata demikian merujuk pendedahan mengenai eksploitasi kanak-kanak dan remaja yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
“Ini suatu kejadian yang benar-benar menimbulkan kebimbangan mendalam terhadap hak dan kesejahteraan kanak-kanak dan remaja pada masa ini.
“Insiden ini merupakan satu tamparan keras kepada nilai-nilai kemanusiaan dan agama yang sepatutnya melindungi golongan yang paling rentan dalam masyarakat kita, terutama sekali kanak-kanak,” katanya.