KECANTIKAN dan populariti yang dimiliki Tracie Sinidol memberi laluan mudah kepada wanita kelahiran Sabah ini diangkat sebagai juara Dewi Remaja 2022.
Walaupun berusia 21 tahun, Tracie berjaya memikat hati juri dan penonton di pentas akhir program berkenaan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kemenangan itu menyaksikan Tracie yang juga peranakan Murut dan Dusun membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Tempat kedua pula dimenangi Bee dengan hadiah RM7,000, Kimberly di tempat ketiga (RM5,000), manakala Alyssa tempat keempat (RM1,000)
Tracie berkata, dia tidak menyangka penyertaannya dalam program berkenaan menghadiahkan dirinya dengan kemenangan utama.
Justeru, Tracie akan menggunakan segala platform yang dimiliki untuk mengintai peluang dalam industri seni.
“Orang Sabah kaya dengan bakat, tapi sayangnya kami tiada peluang untuk meluaskannya kerana banyak faktor. Paling ketara adalah dialek.
“Jadi, misi utama saya sekarang adalah untuk memperbaiki dialek Sabah dengan belajar bahasa baku menerusi tontonan filem, drama serta lagu selain pembawaan diri di hadapan orang ramai,” katanya.
Menurut Tracie, dia juga menyimpan impian bergelar pelakon dan pengacara seandainya diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya.
Dalam masa sama, Tracie mengaku, bergelar selebriti bukan kerjaya mudah selain perlu mempersiapkan diri jika berdepan kontroversi.
“Saya akui dalam proses mempersiapkan diri seandainya dilanda kontroversi pada masa akan datang.
“Ibu saya selalu berpesan supaya sentiasa bersedia berhadapan kecaman dan pujian daripada orang lain. Dua perkara ini akan saya ingat dalam fikiran saya,” katanya.
Sementara itu, naib juara Dewi Remaja 2022, Bee pula mahu mempersiapkan diri dengan lebih baik sebelum benar-benar bersedia menyertai industri hiburan.
“Perancangan selepas ini, saya nak bina tapak dulu dalam industri seni. Saya tidak boleh nafikan bahawa bidang ini ada banyak cabaran dan saingan juga sengit.
“Jadi, sekarang ini saya mempersiapkan diri dengan lebih baik. Sekarang dah 70 peratus, berbaki lagi 30 peratus untuk saya ‘grooming’ diri sendiri,” katanya.
Harian Metro