Turun Padang Tinjau Dan Selami Isu Rakyat – Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru ahli-ahli Parlimen dan semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu-isu rakyat dari dekat serta memantau pencapaian program-program yang telah diumumkan.

Sesungguhnya, Yang di-Pertuan Agong amat prihatin dengan nasib rakyat yang telah terkesan ekoran daripada pelaksanaan pelbagai langkah-langkah tertentu oleh kerajaan dalam usaha untuk membendung pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Baginda turut menggesa kerajaan mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

Selain itu, titah Baginda, kerajaan juga perlu menyediakan perbelanjaan bagi membiayai langkah kesihatan awam, menyediakan bantuan kepada golongan yang terjejas serta sokongan untuk menggiatkan aktiviti perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi.

“Untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tujuan tersebut, kerajaan akan membentangkan cadangan di Dewan Rakyat ini bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang COVID-19 serta had statutori hutang kerajaan.

“Peningkatan daya saing negara juga perlu difokuskan terhadap usaha menambah baik ekosistem serta persekitaran perniagaan bagi meneroka penciptaan kekayaan baharu dan menambah nilai terutamanya oleh perusahaan kecil sederhana mikro.

“Perusahaan ini juga perlu diberi galakan untuk mengurus perniagaan secara digital demi untuk menjamin akses pasaran yang lebih luas. Selain itu, bidang-bidang pertumbuhan ekonomi baharu perlu segera dikenal pasti supaya Malaysia tidak ketinggalan di arena global,” titah Baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah juga memberitahu, inisiatif baru dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian, industri makanan, pelancongan dan mineral perlu dipercepatkan pelaksanaannya.

Hal ini katanya, sektor- sektor tersebut sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu negara di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negara.

“Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan Rancangan Malaysia Kesebelas bagi tempoh 2016 hingga 2020. Dalam sesi Parlimen ini Kerajaan akan membentang pula Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025. Rancangan ini bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar dan transformasi struktur untuk membawa pembangunan negara pada asas yang lebih kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang bagi merealisasi semangat “Keluarga Malaysia” dan mencapai matlamat “Malaysia Makmur, Inklusif, Mapan”.

“Dasar jangka sederhana dan panjang akan turut diperkenalkan bagi menangani isu-isu kesihatan, keselamatan, kemiskinan, kehilangan pekerjaan dan kelangsungan perniagaan, di samping melonjakkan pertumbuhan ekonomi bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Beta berkeyakinan pembangunan negara dan taraf hidup rakyat akan terus meningkat serta jurang pembangunan antara wilayah dan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak akan dapat dirapatkan,” titah Baginda.

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat yang bernilai RM530 bilion. Di samping itu, belanjawan bagi tahun 2021 adalah belanjawan terbesar dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.

” Beta menyambut baik komitmen Kerajaan dalam memacu pertumbuhan prestasi ekonomi negara agar lebih lestari, mampan dan berdaya saing, khususnya dalam pengukuhan sektor perdagangan dan pelaburan.

” Daripada keseluruhan RM107 bilion pelaburan yang diluluskan, Kerajaan telah memperoleh hampir RM40 bilion nilai pelaburan dari tiga misi perdagangan dan pelaburan bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2021.

” Selain itu, jumlah dagangan negara telah mencapai RM1 trilion dalam tempoh 6 bulan pertama pada tahun ini. Pencapaian pelaburan negara bagi kesemua sektor ekonomi juga telah meningkat hampir 70 peratus.

” Ini jelas memberi imej yang sangat positif bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang amat kompetitif, mesra perniagaan dan merupakan lokasi menarik bagi pelaburan antarabangsa dan domestik.

“Beta juga bersyukur kerana Keluaran Dalam Negeri Kasar pada suku kedua tahun ini telah berkembang sebanyak 16.1 peratus. Secara keseluruhan, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai (well-diversified), telah berjaya menunjukkan trend pemulihan ekonomi,” titah Baginda lagi.

Ujar Baginda, pemulihan tersebut telah turut didorong oleh langkah yang diperkenalkan termasuk bantuan tunai kepada rakyat serta pakej sokongan bagi kelangsungan perniagaan.

” Untuk separuh tahun kedua 2021, kerajaan telah memberi bantuan tunai kepada 10 juta penerima dari golongan B40 dan M40, termasuk Bantuan Khas COVID-19 yang bernilai RM10 bilion.

“Bagi perniagaan di bawah Pakej PEMULIH, Geran Khas PRIHATIN bernilai RM1,000 akan dibayar kepada lebih 1 juta perusahaan kecil sederhana mikro. Demi kelangsungan perniagaan, PEMULIH juga telah menyediakan subsidi upah sehingga 4 bulan tambahan bernilai hampir RM4 bilion yang bakal memberi manfaat kepada lebih 200,000 majikan.

“Meskipun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif terhadap sektor-sektor tertentu negara, Beta berkeyakinan ekonomi Malaysia akan mula menunjukkan pemulihan selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dan seterusnya memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dan para pelabur.

“Program Jaringan Keselamatan Sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Wilayah Bebas Berniaga dan Usahawan Anak Muda Kota yang berupaya untuk meringankan bebanan warga kota hendaklah terus diberi tumpuan.

“Pada masa yang sama, Program Pembangunan Luar Bandar hendaklah terus ditingkat dan diperkasakan. Ketika ini, sejumlah 7.6 juta warganegara adalah merupakan penduduk luar bandar termasuk 198,015 orang penduduk Orang Asli. Kerajaan hendaklah menentukan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas yang meliputi infrastruktur ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya.

Al- Sultan Abddullah bertitah, inisiatif untuk membantu masyarakat luar bandar dalam menghadapi pandemik COVID-19 juga wajar diteruskan bagi meringankan bebanan mereka.

” Kerajaan juga hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik. Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian Kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.

“Persekitaran mesra digital serta penggunaan automasi dan teknologi tinggi boleh menjadi pemangkin kepada negara untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi. Di samping itu, ianya boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya berupaya untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing,” titah Baginda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat