KUALA LUMPUR – Atas semangat solidariti merentasi politik kepartian, Armada Bersatu akan turun bersama Pemuda Umno ke Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos 2025.
Justeru ketuanya Hilman Idham menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan ini berlangsung secara aman dan penuh semangat patriotisme yang tulen.
“Jalur Gemilang adalah panji tanah air. lanya adalah lambang kedaulatan negara, perpaduan rakyat sekaligus identiti dan martabat negara. Jelas, wajib bagi setiap warganegara Malaysia memelihara dan mempertahankannya.
“Insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik bukan kali pertama berlaku. Biarpun riuh, insiden seperti ini tetap berulang kali berlaku. Saya musykil bagaimana insiden ini boleh berlaku berulang kali dengan alasan cuai, tidak sengaja dan salah teknikal yang pelbagai. Lebih musykil, orang yang membela dan mempertahankan jalur gemilang digelar anjing liar, pembuli dan gangster yang mengugat keharmonian.
“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Mereka menyerang peribadi, berselindung disebalik perkataan ‘keamanan dan keharmonian’ serta ‘rukun negara’. Jangan peralat dan mencemarkan ‘patriotisme’ untuk membela sikap dan tindakan yang salah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kata Hilman, pihak yang bersalah mesti dikenakan tindakan tanpa kompromi.
Menurut beliau, kesalahan ini mesti dihukum tanpa mengira warna kulit, kaum, agama dan faham politik.
“Seruan mempertahankan Jalur Gemilang adalah ‘semboyan penyatuan kebangsaan.’ Kesatuan dan kebersamaan rakyat harus digembleng demi mempertahankan panji-panji tanah air; maruah dan martabat negara.
“Atas semangat solidariti rakyat merentasi politik kepartian, Armada Bersatu akan turun bersama Pemuda Umno di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos 2025. Kami menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan ini berlangsung secara aman dan penuh semangat patriotisme yang tulen.
“Armada Bersatu senantiasa siap untuk bersama mana-mana pihak demi mempertahankan kedaulatan dan martabat negara. Anak muda memimpin penyatuan, Jalur Gemilang maruah kita bersama,” tegas Hilman lagi.
Semalam Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh memaklumkan kelas pasang Jalur Gemilang yang dirancangnya dibatalkan memandangkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bakal memasang bendera gergasi di kedai perkakas di Pulau Pinang yang dianggap Akmal sebagai bentuk pengajaran kepada pemilik premis berkenaan.
Bukan cuma itu, Akmal juga memaklumkan beliau akan turun ke Pulau Pinang mengunjungi kedai perkakas kontroversi berkenaan pada petang Khamis ini bagi meninjau Jalur Gemilang gergasi yang akan dipasang Anthony Loke.
Akmal juga bahkan sangat teruja untuk bersama-sama DAP Pulau Pinang mengedarkan Jalur Gemilang di lokasi berkenaan.



